SPRM akan panggil penama dalam lejar UKSB

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semua penama yang tersenarai dalam buku lejar rahsia kontroversi Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan tersebut akan menentukan sama ada pemberian atau penerimaan wang mempunyai unsur rasuah ataupun tidak.

"SPRM telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah baru-baru ini.

"SPRM akan memanggil semua nama yang disebutkan di dalam lejar berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung status terkini siasatan terhadap penama-penama yang terlibat dalam buku lejar UKSB, di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa UKSB memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perbicaraan berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).

Selain Muhyiddin, antara ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding berkenaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB serta Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi SPRM.

Susulan itu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan membuka kertas siasatan terhadap individu yang telah menerima dana politik seperti yang didakwa saksi perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ahmad Zahid.