Dua maut, lima cedera dalam tembakan di Los Angeles

Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia. - Foto Reuters
Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia. - Foto Reuters
A
A
A

LOS ANGELES - Dua maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah taman di Los Angeles pada petang Ahad, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

Anggota polis menerima laporan mengenai kejadian tembakan berhampiran padang besbol di Peck Park, pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, lapor Jabatan Polis Los Angeles.

Tujuh mangsa dikejarkan ke hospital tempatan, dan dua daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut Jabatan Bomba Los Angeles.

Polis memaklumkan beberapa senjata api dijumpai di lokasi berkenaan dan dikategori sebagai bahan bukti.

Bilangan suspek yang terlibat masih belum diketahui, atau insiden itu membabitkan pertempuran antara kumpulan masih disiasat, menurut polis.

Jabatan Polis Los Angeles telah mengisytiharkan amaran taktikal seluruh bandar selepas kejadian itu.

Saksi berkata ratusan orang menghadiri pameran kereta dan melakukan pelbagai aktiviti lain di taman itu sebelum insiden tembakan tercetus, menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri. - Bernama