Barangan seludup bernilai RM2 juta dirampas

Kamarul Zaman (tengah) pada sidang akhbar Op Kontraban di IPD Seri Alam pada Isnin.
Kamarul Zaman (tengah) pada sidang akhbar Op Kontraban di IPD Seri Alam pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis Johor menerusi pasukan khas yang ditubuhkan bagi menangani kegiatan penyeludupan pelbagai barang larangan atau kontraban berjaya melaksanakan 14 serbuan selama lima hari membabitkan nilai rampasan hampir RM2 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan bermula pada Rabu lalu itu, dilakukan di sekitar daerah Mersing, Seri Alam, Muar, Tangkak, Iskandar Puteri, Kota Tinggi, Segamat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Katanya seramai 25 individu terdiri daripada 16 lelaki tempatan dan sembilan lelaki warga asing berumur lingkungan 20 hingga 53 tahun berjaya ditahan dalam serbuan dilakukan itu.

"Bermula Rabu lalu sehingga pukul 2 pagi pada Ahad, pasukan khas kontraban telah berjaya membuat sebanyak 14 serbuan di hampir semua daerah termasuk di Mersing, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Segamat.

"Dalam serbuan itu, rampasan dilakukan membabitkan 4,012 peket minyak masak, 158,380 liter minyak diesel, 215 karton dan 476 rokok pelbagai jenama, 216 karton dan 50 botol arak pelbagai jenama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini pada Isnin.

Antara kenderaan yang berjaya dirampas Polis Johor menerusi Op Kontraban.
Antara kenderaan yang berjaya dirampas Polis Johor menerusi Op Kontraban.

Menurut beliau, turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 16 lori termasuk sebuah lori tangki, sebuah kereta, dua buah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta peralatan penyeludupan yang lain.

"Semakan rekod ke atas semua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau bagi kegiatan jenayah atau dadah.

"Pemeriksaan ke atas warganegara asing itu pula mendapati mereka menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.

Katanya, suspek warga asing itu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959)63.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.