Pemandu lori bersubahat botolkan minyak masak peket

Kamarul Zaman (kanan) pada sidang akhbar Op Kontraban di IPD Seri Alam pada Isnin.
Kamarul Zaman (kanan) pada sidang akhbar Op Kontraban di IPD Seri Alam pada Isnin.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pemandu lori yang dipercayai bersubahat dengan sindiket penyelewengan minyak masak peket dengan membotolkan semula bahan itu di Endau Mersing ditahan dalam serbuan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan stor kedai pada jam 7.15 malam.

"Taktik licik itu berjaya dikesan hasil daripada risikan yang dijalankan. Hasil siasatan mendapati premis terbabit dijadikan tempat penyimpanan dan pembotolan minyak masak yang dijual semula dengan harga bermula daripada RM11.

"Sebanyak 4,012 paket minyak masak subsidi bernilai RM10,030 berjaya dirampas daripada sindiket," katanya pada sidang akhbar Op Kontraban Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Seri Alam di sini pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Menurut beliau, siasatan masih dilakukan bagi mengenalpasti bekalan minyak masak peket bersubsidi diperoleh sindiket dan senarai nama pengusaha kedai runcit yang sepatutnya menerima bekalan minyak masak bersubsidi tersebut.

Minyak masak paket yang dirampas daripada sindiket penyelewengan minyak masak peket dengan membotolkan semula bahan itu di Endau Mersing pada Rabu lalu.
Minyak masak paket yang dirampas daripada sindiket penyelewengan minyak masak peket dengan membotolkan semula bahan itu di Endau Mersing pada Rabu lalu.

Katanya, minyak masak peket ini sepatutnya diedarkan ke kedai-kedai bagi memenuhi keperluan pembeli khususnya golongan B40, tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Suspek telah diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Polis Johor akan mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan minyak masak yang membimbangkan ketika ini.

"Kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menggembleng tenaga bagi memastikan tidak akan berlaku penyelewengan," katanya.