20,691 terima manfaat insentif Pencen Rakyat tahun lalu

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sejumlah 20,691 rakyat negeri ini telah menerima insentif Pencen Rakyat melibatkan peruntukan berjumlah RM6.2 juta pada tahun lalu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, penyerahan insentif itu telah dilaksanakan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Disember 2021 sehingga Mei 2022.

Beliau berkata, bayaran pertama sebanyak RM300 bagi tempoh suku kedua tahun 2021 melibatkan seramai 1,799 penerima dengan peruntukan RM539,700.

"Seramai 3,718 orang penerima dari Kemaman telah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM1,115,400; 1,624 orang di Dungun dengan peruntukan (RM487,200) dan Besut seramai 2,798 orang dengan peruntukan RM839,400.

"Bagi Hulu Terengganu pula, seramai 3,424 penerima (RM1.02 juta), Marang (2,437 penerima) dengan peruntukan RM731,100, Setiu (2,809 penerima dengan peruntukan RM842,700 dan Kuala Nerus pula seramai 2,082 penerima dengan peruntukanRM624,600," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura) ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN ke-14 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Hanafiah berkata, program Pencen Rakyat dijangka akan terus dilaksanakan pada tahun 2023 dengan jangkaan tambahan bilangan peserta seramai 5,000 orang.

"Agihan akan dilaksanakan dengan kerjasama pejabat-pejabat daerah dan setiap Pusat Khidmat DUN pada Oktober nanti,"katanya.

Antara kriteria mereka yang layak memohon insentif Percen Rakyat adalah warga negara berumur 60 tahun dan ke atas, rakyat negeri ini atau bermastautin melebihi 15 tahun, bukan pesara atau penerima pencen serta tidak mendapat bantuan bulanan dari mana-mana agensi.

Mereka yang layak akan menerima sebanyak RM50 sebulan atau RM600 setahun melalui insentif berkenaan.