Kulit, biji durian musang king, duri hitam 'laku'

Aznel menunjukkan isi buah durian hitam yang banyak ditanam di Pengkalan Hulu.
Aznel menunjukkan isi buah durian hitam yang banyak ditanam di Pengkalan Hulu.
A
A
A

GERIK - Kulit dan biji durian daripada jenis musang king dan duri hitam yang banyak ditanam di Pengkalan Hulu telah diproses semula dengan sebahagiannya diimport ke negara luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, pemprosesan itu dimulakan sejak dua tahun lalu bagi tujuan makanan haiwan dan penghasilan bahan kosmetik di negara sempadan, Thailand.

"Saya mulakan pemprosesan ini kerana sebelum ini lihat biji dan kulit-kulit durian hanya dijadikan bahan buangan.

"Jadi saya bincang dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagaimana untuk jana pendapatan daripada kulit itu, maka daripada kajian itulah didapati kulit durian sesuai dijadikan bahan makanan kepada lembu ternakan.

"Untuk biji durian pula, kita dapati ada permintaan tinggi dari Thailand dan berjaya dapatkan permit eksport ke negara itu," katanya ketika ditemui dalam Karnival Pengkalan Hulu dan Jom Makan Musang King di Dataran Arena Pengkalan Hulu pada Ahad.

Aznel (tengah) melihat bekalan durian yang disediakan dalam Karnival Pengkalan Hulu dan Jom Makan Musang King di Dataran Arena Pengkalan Hulu pada Ahad.
Aznel (tengah) melihat bekalan durian yang disediakan dalam Karnival Pengkalan Hulu dan Jom Makan Musang King di Dataran Arena Pengkalan Hulu pada Ahad.

Aznel berkata, setakat ini terdapat tiga pusat pengumpulan diwujudkan bagi tujuan berkenaan iaitu di Kampung Tasek, Kelian Intan dan pekan Pengkalan Hulu.

Katanya, melalui pusat pengumpulan itu, pengusaha tanaman durian akan menghantar kulit dan biji durian yang dikumpul untuk pemprosesan peringkat pertama sebelum dihantar ke kawasan tertentu.

"Buat masa ini, kulit durian dihantar ke Perlis untuk dijadikan makanan ternakan lembu manakala biji durian pula dieksport ke Thailand bagi diproses dan digunakan dalam bahan kosmetik seperti bedak dan pencuci muka," katanya.

Beliau berkata, permintaan tinggi bagi kedua-dua kegunaan itu membantu penduduk tempatan yang mengusahakan tanaman durian memperolehi pendapatan tinggi.

Tambahnya, harga pasaran biji durian mencecah RM8 sekilogram dan pada ketika musim buah, ketiga-tiga pusat pengumpulan boleh memasarkan sekitar 100 tan biji durian sehari.

"Dianggarkan terdapat hampir 10,000 ekar (4,000 hektar) kawasan di sini telah diusahakan dengan tanaman durian musang king dan duri hitam.

"Jadi di Pengkalan Hulu ini, bukan sahaja dapat makan dan jual isi durian tetapi kulit dan bijinya pun ada harga serta boleh beri pendapatan kepada pengusaha," katanya.

Aznel
Aznel

Mengenai cadangan mewujudkan kilang pemprosesan durian seperti dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu lepas, Aznel berkata, perkara itu bagi membantu mengatasi isu bekalan dan harga buah berkenaan.

Jelasnya, kilang pemprosesan yang dicadang itu membolehkan durian daripada jenis premium disimpan menerusi kaedah sejuk beku dalam bentuk sebiji buah, bukannya ulas seperti kebiasaan.

"Kaedah ini menjadikan durian tahan lama lebih enam bulan selain dapat mengekalkan keaslian rasa.

"Jadi apabila bekalan semakin berkurang, kita boleh keluarkan durian yang telah sejuk beku ini untuk penuhi permintaan pasaran sekali gus dapat mengawal harga daripada melambung tinggi," katanya.