Manfaatkan penstrukturan Liga-M

JDT dan Melaka United antara pasukan yang mewarnai saingan Liga-M. - Foto Bernama
JDT dan Melaka United antara pasukan yang mewarnai saingan Liga-M. - Foto Bernama
A
A
A

KEBENARAN mendaftar sembilan pemain import mulai musim 2023 menerusi proses penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga-M), perlu dimanfaatkan semua pasukan bertanding dalam usaha menarik penajaan yang lebih besar.

Menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, kehadiran para pemain import secara tidak langsung membantu mempromosikan saingan Liga-M hingga ke luar negara.

Justeru katanya, perkara itu juga akan membantu menarik kehadiran lebih ramai para pemain luar negara untuk beraksi dalam saingan liga di negara ini.

“Ini merupakan kali pertama (penstrukturan) saingan Liga-M dibuat..nak cakap pun susah sebenarnya, tetapi sekiranya proses penstrukturan ini berjalan dengan lancar ia sememangnya boleh menarik penajaan yang jauh lebih besar.

“Oleh itu, berdasarkan kepada reaksi rakyat di negara ini, ramai yang mencadangkan agar perkara ini (penstrukturan), di kaji dengan lebih terperinci sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Apa pun,proses penstrukturan berkenaan sudah pun mendapat persetujuan daripada kesemua rakan kongsi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan bakal dilaksanakan pada 2023,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

MFL sebelum ini mengumumkan berhubung pelaksanaan penstrukturan bagi saingan Liga-M yang dijangka dilaksanakan mulai Februari 2023.

Selain bakal menarik penajaan serta pelaburan lebih besar, proses penstrukturan semula saingan Liga-M ini juga dilihat bakal membantu skuad kebangsaan Harimau Malaya terutamanya bagi meningkatkan kedudukan ranking.

Artikel Berkaitan:

Tambah Effendi, penajaan serta pelaburan besar berkenaan secara tidak langsung akan turut meningkatkan lagi perbelanjaan kepada setiap pasukan yang bertanding.

Katanya, ini berikutan kebenaran kepada setiap pasukan untuk mendaftarkan sembilan pemain import bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

“Penajaan serta pelaburan besar kepada saingan Liga-M ini pastinya akan turut menyebabkan perbelanjaan bagi setiap pasukan juga meningkat.

“Bagi pasukan yang sudah pun memiliki feeder club masing-masing seperti Selangor FC, Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pasti mereka sudah ‘biasa’ penggunaan sembilan pemain import ini berbanding pasukan lain yang tidak memiliki feeder team sendiri.

“Bagaimanapun, memiliki sembilan pemain import ini bukannya ‘wajib’ pun...untuk pasukan yang berkemampuan sahaja, bagi yang tidak memiliki kemampuan, mereka boleh ‘ukur baju di badan sendiri’ jika mahu menggunakan pemain import.

“Dalam perkara ini mungkin mereka hanya akan mengambil kurang daripada sembilan pemain import atau tidak menggunakan pemain import langsung seperti PJ City FC, terpulang kepada mereka...jangan pula nanti timbul isu tunggakan gaji dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Effendi tidak menolak kemungkinan bahawa perlaksanaan penstrukturan ini akan menyebabkan terdapat pasukan yang meraih untung.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama terdapat pula pasukan yang berdepan kesukaran bagi mengharungi proses penstrukturan berkenaan.

“Penstrukturan ini akan menyaksikan ada pasukan yang untung dan ada pasukan yang ‘susah sikit,’ kita buat sesuatu tak boleh nak jadi kebaikan kepada semua orang..itu kita kena tahulah.

“Apa pun semoga penstrukturan ini boleh membantu menaikkan lagi taraf bola sepak kita dan seterusnya dapat membantu meningkatkan ranking Harimau Malaya,” katanya.