100 botol heroin bernilai RM200,000 dalam genggaman

Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan botol-botol berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin yang dirampas oleh polis.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan botol-botol berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin yang dirampas oleh polis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelanggan ditahan ketika memegang 100 botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin yang bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan nasi khoumok, Rantau Panjang, pada Jumaat lalu.

Suspek lelaki berusia 23 tahun terbabit ditahan dalam serbuan Ops Tapis oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 2.36 pagi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah yang ditemukan tersebut dianggarkan seberat 546.4 gram (g).

“Semasa serbuan di kedai makan itu, suspek memegang satu beg plastik berwarna hitam di dalamnya terdapat 100 botol dipercayai dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM200,000.

“Setiap botol tersebut berharga RM2,000 yang dipercayai akan dibahagikan dan diagihkan kepada penagih dalam bentuk tiub penyedut minuman yang setiap satu dijual dengan harga RM20,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau namun ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis morfin.

Dalam kes berasingan, seorang buruh lelaki berusia 34 tahun ditahan di Kampung Repek, Pasir Mas, pada jam 5.06 pagi, pada Khamis lalu.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta menjumpai bungkusan di bawah tempat duduk pemandu yang mengandungi 10 paket dipercayai dadah jenis pil kuda.

“Rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM20,000 manakala turut disita wang tunai berjumlah RM650,” katanya.

Katanya, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencingnya didapati positif metamphetamine.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan masing-masing bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 32 individu lagi ditahan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam tempoh tiga hari Ops Tapis bermula Khamis lalu sehingga Sabtu lalu.

“Operasi melibatkan daerah bersempadanan dengan Thailand di Pasir Mas dan Tumpat dengan kekuatan enam pegawai serta 41 anggota.

“Keseluruhan rampasan pelbagai jenis dadah dalam serbuan Ops Tapis tersebut bernilai RM230,165,” katanya.