AKM Kelantan dijangka terima hampir 100,000 pengunjung

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan di khemah jualan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah AKM Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad. - Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan di khemah jualan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah AKM Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan dijangka menerima hampir 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya yang bermula Jumaat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga penyelaras program Jelajah AKM itu berkata, jumlah itu termasuk pengunjung yang datang tetapi tidak mendaftarkan diri.

"Ramai yang tidak berdaftar dan saya kira jumlah pengunjung yang hadir boleh mencecah hampir 100,000.

"Saya harap objektifnya tercapai dan program hari ini akan berjalan terus sehingga lewat malam ini,” katanya selepas mengadakan lawatan di Program Lelongan Jualan Keluarga Malaysia dekat Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Ahad.

Sementara itu, Annuar berharap Jelajah AKM kali keenam itu dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Kelantan melalui program, pameran dan aktiviti yang disediakan.

Jelajah AKM Kelantan bertemakan "Keluarga Malaysia Keluarga Digital” yang akan menutup tirainya malam Ahad, menyediakan pelbagai aktiviti antaranya RIUH x JAKM, Khemah Cita Rasa Keluarga Malaysia dan pelbagai jualan dari usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Ia juga merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat. - Bernama