Pasangan kekasih sujud syukur terlepas hukuman mati

Ahmad Uzair dan Azilafatiha dikawal ketat polis keluar dari lokap menuju ke bilik Mahkamah Tinggi, Kota Bharu.
Ahmad Uzair dan Azilafatiha dikawal ketat polis keluar dari lokap menuju ke bilik Mahkamah Tinggi, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang kekasih melakukan sujud syukur di dalam kandang pesalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad sejurus terlepas daripada hukuman mati terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram (kg).

Tertuduh pertama, Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan kedua, Azilafatiha Ahmad, 27, sujud kira-kira seminit selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Mohamad Abazafree berkata, pada keputusan di akhir kes pendakwaan tersebut, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh melalui tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap rumah lokasi dadah ditemukan.

“Kemungkinan terdapat orang lain mempunyai akses ke atas rumah tersebut yang memasuki rumah itu menggunakan kunci pendua.

“Kewujudan orang itu diperkuatkan lagi dengan kehilangan televisyen dalam gambar yang dirakam dua hari berbeza oleh polis yang melakukan siasatan,” katanya di sini pada Ahad.

Sebelum itu, pasangan tersebut didakwa secara bersama mengedar jenis kanabis seberat 1.6kg di sebuah rumah di Jalan Tawang, Taman Mesira, Kampung Budi, Bachok pada jam 1 pagi, 9 Januari 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat minimum 15 kali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga dibebaskan daripada pertuduhan secara bersama memiliki 122.76 gram (g) dadah jenis sama dan pertuduhan berseorangan yang dihadapi oleh Ahmad Uzair atas dakwaan memiliki 8.5g dadah sama pada masa tarikh serta di lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh pertama diwakili peguam bela, Zameri Mat Nawang dan tertuduh kedua diwakili peguam bela, Shaharuddin Mohamed serta Leftenan Kolonel Bersara (B) Azhar Ahmad.

Sementara itu, di luar bilik mahkamah tersebut, ibu Azilafatiha, Asnah Omar, 68, menyambut keputusan pembebasan anak bongsu daripada lapan beradik berkenaan dengan linangan air mata.

“Sepanjang dia ditahan, hampir setiap hari saya melakukan solat hajat. Alhamdulillah ALLAH SWT makbulkan doa saya pada hari ini,” katanya.