Pasaran mata wang tidak menentu dijangka terus meningkat

Gambar kecil: Dr Zairihan
Gambar kecil: Dr Zairihan
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGUMUMAN kadar faedah dan data ekonomi pasaran utama pada minggu hadapan penting bagi memberi kepastian terhadap arah tuju pergerakan nilai ringgit.

Pensyarah Ekonomi dan Penganalisis Teknikal, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zairihan Abdul Halim berkata, ketidaktentuan pasaran mata wang dijangka terus meningkat sehingga hujung minggu ini berikutan sentimen yang bercampur terhadap pengumuman data ekonomi penting oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, masing-masing pada 28 dan 29 Julai ini.

Katanya, daripada aspek teknikal, indeks mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) telah merekodkan bacaan tertinggi dalam tempoh 20 tahun pada Jumaat (15 Julai 2022) dan berada pada paras sokongan 106.544 pada Jumaat (22 Julai 2022).

"Nilai ringgit terus menyusut berbanding dolar AS pada minggu lalu, ditutup lebih rendah pada paras rintangan Mac 2017 iaitu RM4.450 daripada RM4.447 pada minggu sebelumnya. Jika paras rintangan ini diatasi, nilai ringit berpotensi didagangkan lebih rendah dalam jangka masa pendek.

"Bagaimanapun, pergerakan semasa mata wang negara akan diimbangi oleh pengurusan dasar monetari yang akomodatif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan disokong oleh pengukuhan permintaan domestik serta aliran masuk modal.

"BNM dijangka akan meningkatkan kadar polisi semalaman secara sederhana dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang," katanya dalam kenyataan disini, pada Ahad.

Menurut Dr Zairihan, penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang utama disumbang oleh beberapa faktor terutamanya penguncupan kadar pertumbuhan ekonomi rakan dagangan utama Malaysia iaitu China dan AS serta peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang boleh menjejaskan eksport seterusnya permintaan terhadap ringgit.

Selain itu, katanya, usaha bank pusat AS dan Eropah untuk memerangi inflasi dengan meningkatkan kadar faedah secara agresif akan mengukuhkan mata wang negara-negara tersebut berbanding ringgit.