KPM tolak dakwaan pinggir kaum India

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM), menolak dakwaan laporan akhbar Malaysia Nanban, berkaitan peluang kerja bagi kaum India di sektor pendidikan yang dikatakan dipinggirkan.

KPM dalam kenyataan media menegaskan, bahawa laporan di bawah tajuk yang mendakwa tiada peluang kerja bagi kaum India di sektor pendidikan dan calon kaum India dipinggirkan, bertarikh 31 Mac 2019, sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

“Urusan pengambilan kakitangan sektor pendidikan tidak diuruskan oleh KPM tetapi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

“Dari segi keperluan pengambilan yang dikemukakan kepada SPP, KPM tidak pernah menetapkan sebarang syarat pengisian jawatan berasaskan diskriminasi kepada mana mana kaum, kepercayaan atau jantina dalam mengambil kakitangan awam di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KPM juga berkata, pihak SPP telah melaksanakan proses pengambilan secara profesional dan penuh berintegriti berdasarkan merit kelayakan seseorang calon.

“Laporan yang mengatakan bahawa pengambilan kakitangan baharu hanya mengutamakan satu-satu kaum juga tidak berasas dan bersifat mencetuskan persepsi negatif terhadap KPM.

“KPM dan SPP tidak meminggirkan mana-mana kaum kerana sektor pendidikan merupakan bidang yang memerlukan penglibatan semua rakyat Malaysia yang berkelayakan tanpa mengira kaum dan agama bagi menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya.

Tambah KPM, Malaysia Nanban sebagai akhbar yang bertanggungjawab tidak sewajarnya menyiarkan laporan yang tidak berasas tanpa menyemak fakta dan maklumat yang betul terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Siaran laporan yang tidak benar ini boleh menimbulkan salah tanggapan, dan persepsi negatif terhadap KPM dan SPP,” katanya.