'Tak perlu menari ikut rentak gendang' – Mohamad

 Mohamad Hassan
Mohamad Hassan
A
A
A

ALOR SETAR – Kepimpinan tertinggi UMNO tidak perlu mengikut rentak pihak luar yang sentiasa memukul gendang kononnya UMNO kini berpecah kepada beberapa kem.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, ia hanyalah sikap segelintir pihak yang sememangnya gemar mengadu domba pemimpin untuk memecahbelahkan parti.

Menurutnya, kesemua kepimpinan tertinggi parti sering mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu berkaitan parti tanpa perlu menghebahkan kepada pihak luar.

“Saya tak perasan pula ada banyak kem, tak ada (kem) pun. Dalam ucapan saya kepada ahli dan pimpinan UMNO Kedah tadi pun ada menyebut perkara ini, mereka (pihak luar) tak tahu saya selalu jumpa dengan pemimpin-pemimpin dalam parti, tak akan saya nak uarkan hari ni saya jumpa Perdana Menteri dan muat status dalam Facebook saya,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah di sini pada Sabtu.

Mohamad tegaskan, kepimpinan kerajaan yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan parti yang diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sering mengadakan perjumpaan dan berbincang mengenai masalah berbangkit.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebuah portal berita berhubung kemungkinan UMNO berpecah kepada tiga kem selepas pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung tikam-menikam dalam parti Melayu itu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya cubaan Mohamad untuk menjatuhkan Ahmad Zahid dalam satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin lain pada Mei lalu.

Berdasarkan laporan portal berkenaan, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, pendedahan itu mengesahkan perang saudara dalam parti Melayu terbesar itu dan bakal membentuk kem baharu.

Mohamad sebaliknya enggan melatah dengan tuduhan dilemparkan selain menyifatkan hanya kepimpinan dalam parti itu yang mengetahui perkara sebenar.

“Orang nak panggil kem siapa-siapa biarlah. Asalkan kami tidak terikut-ikut dengan dakwaan itu. Bak kata orang, kita tak menari ikut apa yang mereka pukul gendang. Kami relaks saja,” katanya lagi.