Audit forensik syarikat minyak masak elak seludup

Annuar (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) diberi penerangan menggunakan Chatbot sewaktu melawat pameran Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. - Foto Bernama
Annuar (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) diberi penerangan menggunakan Chatbot sewaktu melawat pameran Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sedang melaksanakan audit forensik pembungkusan minyak masak bersubsidi membabitkan semua syarikat bagi memastikan mereka tidak bersekongkol dengan ejen penyeludupan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan berkenaan juga akan memeriksa jumlah pengeluaran bahan mentah itu daripada syarikat terbabit.

Menurut beliau, kerajaan juga sedang melakukan analisis sama ada kaedah yang digunakan kini boleh diperbaiki atau diubah.

"Saya sebelum ini dengan tegas memaklumkan sistem sedia ada akan dirombak jika didapati ada kilang yang masih menyeludup.

"Bagaimanapun, buat masa ini kita masih belum mengambil pendekatan itu supaya boleh melakukan siasatan kerana kita tidak mahu mengganggu pelabur di sesebuah kilang yang sudah ada rangkaian sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Karnival Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Sabtu.

Annuar sebelum ini berkata, kerajaan mengalami kerugian jika rakyat tidak menikmati subsidi bahan mentah itu kerana sebanyak RM4 bilion dibelanjakan untuk menampung kos subsidi tersebut.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pada itu memuji Program Jelajah AKM yang memberi peluang meningkatkan ekonomi rakyat Kelantan melalui digital.

Beliau yakin program berkenaan mampu memberi gelombang baharu dalam penggunaan multimedia dan digital dalam kalangan usahawan negeri ini.

"Saya percaya jelajah di Kelantan ini akan mencatatkan kehadiran paling ramai. Banyak program yang diadakan dan memberi peluang kepada rakyat Kelantan.

"Kita harap program ini dapat meninggalkan impak kepada peniaga kecil dan usahawan, Kelantan peniaga-peniaga besar dan kecil, peniaga-peniaga yang informal," katannya.

Beliau secara peribadi yakin program itu mampu mencapai sasaran seramai 50,000 pengunjung selama tiga hari penganjurannya yang berakhir Ahad.