Tiga kali banjir kilat dalam tempoh tiga bulan

Keadaan di dalam rumah salah seorang penduduk yang dilanda banjir kilat di Kampung Semarak pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Nor Aliza, Zaini)
Keadaan di dalam rumah salah seorang penduduk yang dilanda banjir kilat di Kampung Semarak pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Nor Aliza, Zaini)
A
A
A

SEREMBAN - Bukan sekali sebaliknya sudah tiga kali kejadian banjir kilat melanda Kampung Semarak, Rahang di sini sejak Mei lalu.

Rata-rata penduduk meluahkan rasa kecewa, malah bagaikan sudah tidak mampu lagi berdepan dengan masalah banjir yang berulang tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Penduduk, Nor Aliza Osman, 58, menggesa pihak bertanggungjawab segera tampil menyelesaikan masalah berkenaan.

"Khudrat saya kini semakin lemah kerana sudah berumur. Pencen yang ada pun habis membeli barangan rumah baharu menggantikan barangan yang rosak akibat banjir.

"Jadi pihak berkenaan tolong tampil ke depan tengok kawasan ini kerana isu utamanya adalah sungai. Dalam dan lebarkan Sungai Linggi berhampiran perkampungan ini supaya masalah sama tidak berulang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Penduduk membersihkan rumah selepas dilanda banjir kilat di Kampung Semarak pada Jumaat.
Penduduk membersihkan rumah selepas dilanda banjir kilat di Kampung Semarak pada Jumaat.

Seorang lagi penduduk, Zaini Yahya, 68, berkata, setiap kali banjir kilat pasti ada barangan yang terpaksa dibuang kerana tidak boleh lagi digunakan.

"Kami tidak terdaya lagi hendak beli baharu, lagipun kami bukan orang senang," katanya.

Dalam pada itu, menurut anak kepada salah seorang mangsa banjir, Siti Aida Sulaiman, 43, kejadian itu merupakan yang ketiga berlaku dalam tempoh tiga bulan ini.

"Kejadian pertama pada bulan Mei lepas kemudian Jun dan terkini bulan ini. Kesian kepada orang kampung yang duduk sendirian termasuk ibu saya.

"Kami anak-anak yang tinggal di perantauan bimbang keselamatan ibu bapa, dengan banyak barang rosak, masing-masing sudah tidak terdaya lagi nak hadap," katanya.

Hujan lebat sejak jam 7 malam, Jumaat yang berlarutan selama beberapa jam menyebabkan kira-kira 330 penduduk di 120 kawasan terjejas akibat banjir kilat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Md Nor dalam kenyataannya menjelaskanm antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Ismail, Kampung Chedang, Taman Happy dan Kampung Sri Mantau.

Katanya, rumah yang berdekatan sungai dan kawasan rendah menyebabkan air naik dengan cepat namun keadaan tidak kritikal. Hujan lebat intensiti tinggi pada 9 malam dan reda kira-kira dua jam kemudian.