Melaka pecah rekod masak asam pedas terbanyak

Akramuddin (tiga dari kiri) menemani Salhah (lima dari kiri) melihat peserta membuat persiapan memasak asam pedas di Muzium Istana Melayu Melaka, Banda Hilir pada Sabtu.
Akramuddin (tiga dari kiri) menemani Salhah (lima dari kiri) melihat peserta membuat persiapan memasak asam pedas di Muzium Istana Melayu Melaka, Banda Hilir pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengukir sejarah apabila menerima pengiktirafan 'Malaysia Book of Records' (MBOR) bagi pertandingan memasak asam pedas terbanyak dan serentak di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, ini adalah pengiktirafan kedua bagi negeri Melaka apabila berjaya merekodkan seramai 250 peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur memasak masakan warisan itu secara serentak pada Festival Masakan Makanan Warisan 2022 di Jalan Kota, Kompleks Warisan Melaka.

Akramuddin
Akramuddin

Menurutnya, pada tahun 2019, Melaka pernah mencatatkan sejarah sama dalam MBOR, namun ketika itu penyertaan hanya seramai 135 peserta.

"Kita mendapat penyertaan bukan sahaja peserta dari dalam Melaka malah luar negeri ini seperti Kuala Lumpur; Batu Pahat dan Muar, Johor.

"Menariknya peserta diberi peluang menyediakan masakan asam pedas dengan kreativiti sendiri menggunakan satu jenis ikan iaitu ikan kembung dan bahan-bahan lain yang turut disediakan," katanya.

Sebahagian peserta yang menyertai program itu.
Sebahagian peserta yang menyertai program itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Muzium Istana Melayu Melaka di Banda Hilir di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman.

Akramuddin berkata, penganjuran program itu juga secara tidak langsung dapat menarik pelancong, sekali gus memperkenalkan masakan warisan Melaka.

"Kita merancang untuk adakan lagi program seumpama ini, namun jika mahu cipta rekod bilangan peserta perlu ditambah pada masa akan datang," katanya.

Program selama tiga hari bermula Jumaat, turut diserikan dengan pelbagai pameran gerai jualan dan citarasa makanan warisan dalam Melaka dan luar Melaka.