Pakar persoal kelewatan bentang draf Akta Pembiayaan Dana Politik

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi politik, Dr Edmund Terence Gomez mempersoalkan kelewatan yang berlaku terhadap usaha untuk memperkenalkan Akta Pembiayaan Dana Politik di dalam negara.

Bekas Profesor dari Universiti Malaya itu berkata, penggubal dasar dilihat tidak memilki kemahuan politik untuk memperkenalkan akta berkenaan di sebalik pengakuan mereka tentang kepentingan undang-undang sedemikian.

Katanya, kelewatan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana sebanyak dua draf berkaitan pengenalan akta itu telah diusahakan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, draf pertama telah dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) susulan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015 manakala draf kedua pula di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

“Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata maaf, kami tidak dapat bentangkan akta itu sekarang kerana masih awal. Apa yang berlaku sekarang ini?” soal beliau.

Edmund berkata demikian ketika memberikan ceramah Menangani Rasuah Sistemik di Malaysia di dalam program Malaysian Universities Economics Conference (MUEC) 2022 yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Wan Junaidi berkata, Akta Pembiayaan Dana Politik berkemungkinan tidak dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini atau sesi Disember akan datang kerana ia masih di peringkat kajian.

Edmund berkata, berdasarkan pengalamannya yang mula memperjuangkan mewujudkan akta tersebut sejak 2008, halangan pelaksanaanya itu bukan hanya membabitkan ahli politik di pihak kerajaan tetap juga pembangkang.

Beliau berkata, skandal 1MDB yang merupakan kes penyelewengan terbesar pernah dialami oleh negara tu boleh dielakkan berlaku sekiranya pembangkang dan kerajaan bertindak memperkenalkan akta tersebut.

“Akta Pembiayaan Dana Poltik menyentuh mengenai penyalahgunaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dana asing. Skandal 1MDB adalah mempunyai kaitan dengan kedua-dua isu tersebut.

“Kita tidak akan mempunyai skandal 1MDB jika Akta Pembiayaan Dana Politik diperkenalkan pada 2009,” ujarnya.