Kerajaan terus fokus atasi kemiskinan di Kelantan: PM

Ismail Sabri (dua dari kanan) ketika hadir merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Sabtu - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kanan) ketika hadir merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Sabtu - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan melalui pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan peruntukan RM124 juta khusus kepada 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, selain itu kaedah baharu menangani miskin tegar secara holistik melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan kerajaan.

Katanya di Kelantan, bagi memastikan ekonomi negeri digerakkan sepenuhnya, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu dalam menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion, dan dijangka menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu di samping 270 peluang keusahawanan.

"Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan, melibatkan kos RM6 juta, di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh.

Sementara itu menurut Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM2.6 bilion melibatkan 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di Kelantan.

"Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 191 kilometer (km) dengan kos RM7.7 bilion antara Gua Musang hingga Kuala Krai yang dijangka siap pada tahun 2026, akan memudahkan perjalanan rakyat serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, Kelantan juga akan memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, yang mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu.

Selain itu, projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dijangka siap pada 2025 mampu menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada empat juta setahun, manakala pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat yang dijangka siap pada 2025 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu di negeri itu.

"Dalam bidang kesihatan pula, sebanyak 12 projek pembinaan klinik kesihatan serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini, manakala dua lagi projek dalam pembinaan iaitu di Gua Musang dan hospital Bachok yang merangkumi 76 buah katil, dijangka siap tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia tentang kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan dengan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur serta RM4 bilion untuk minyak masak peket.

Beliau berkata, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia yang memberi kesan dan cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia, hasil usaha berterusan kerajaan menangani isu itu dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion meletakkan negara pada kadar inflasi terendah di Asia Tenggara.

"Kerajaan juga telah memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40 (menerusi BKM). BKM merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah negara, dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, untuk menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaraskan Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).- Bernama