Kumpulan PATI kacau nelayan tempatan ditahan

Khairul Dzaimee (tiga dari kiri) melihat kejayaan pasukan Imigresen menahan PATI yang didapati bekerja sebagai nelayan dan kilang memproses belacan di Kuala Gula pada Jumaat.
Khairul Dzaimee (tiga dari kiri) melihat kejayaan pasukan Imigresen menahan PATI yang didapati bekerja sebagai nelayan dan kilang memproses belacan di Kuala Gula pada Jumaat.
A
A
A

BAGAN SERAI - Terjun ke laut dan bersembunyi di celah tiang jeti, itu antara tindakan nekad pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di sebuah kampung nelayan di Kuala Gula di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun dengan kecekapan 90 pegawai bertugas, seramai 60 PATI warga Myanmar dan Indonesia berjaya ditangkap ketika serbuan dijalankan kira-kira jam 11.30 malam itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 48 lelaki dan 11 wanita berusia 25 hingga 50 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditahan.

"Serbuan ini dilakukan selepas menerima aduan berhubung kehadiran PATI yang menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan pesisir pantai yang menjejaskan periuk nasi nelayan tempatan.

"Selain itu, mereka juga didapati bekerja di kilang memproses belacan secara haram. Kesemua mereka melakukan kerja tersebut sekitar lima hingga 10 tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jafri Embok Taha dan Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini.

Menurutnya, lima laras senapang angin buatan sendiri bersama peluru jenis 'ball bearing' turut ditemukan dalam serbuan itu.

Khairul Dzaimee menunjukkan senapang angin yang dirampas pasukan serbuan di Kuala Gula.
Khairul Dzaimee menunjukkan senapang angin yang dirampas pasukan serbuan di Kuala Gula.

"Senapang ini disyaki digunakan untuk menangkap ikan dan tujuan lain namun, ia tetap membahayakan keselamatan. Senjata ini akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Dalam serbuan ini, dianggarkan 20 PATI berjaya melarikan diri dengan menaiki bot ke sebuah kelong yang terletak kira-kira 400 meter dari kampung ini," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati 37 warga Myanmar dan 23 warga Indonesia itu disyaki memasuki negara menerusi pertukaran bot yang menceroboh perairan negara.

"Walaupun mereka ini dikatakan kerja sebagai nelayan, tetapi merekalah yang sebenarnya mengoperasikan bot-bot nelayan tempatan ini dengan membayar sewa atau diberikan upah sehingga RM100 setiap kali melakukan tangkapan ikan.

"Justeru itu, pemilik bot dan pengusaha kilang juga akan dipanggil untuk siasatan lanjut kerana menggajikan PATI dan seterusnya akan didakwa mengikut Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta yang sama kerana memasuki negara tanpa sebarang dokumen sah.

"Tahanan akan dibawa ke Depoh Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh menjalani hukuman penjara dan diusir ke negara masing-masing selain disenarai hitamkan dari memasuki Malaysia," katanya.