Sukma: Acara terjun wanita digugurkan bukan sebab politik

Ti Lian Ker
Ti Lian Ker
A
A
A
KETIADAAN acara terjun wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang dijadualkan bermula dari 16 hingga 24 September depan di Lembah Klang adalah kerana tidak menepati syarat minimum peraturan teknikal penyertaan temasya sukan berkenaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, mana-mana acara dipertandingkan pada Sukma, ia perlu mendapat penyertaan daripada sekurang-kurangnya lapan kontinjen negeri.

Beliau berkata, berdasarkan senarai panjang kontinjen pada 20 Mei lepas, lima acara terjun wanita dan lelaki telah digugurkan kerana tidak mempunyai penyertaan yang secukupnya.

"Bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 9 Jun berpendapat bahawa, disebabkan Sukma 2022 adalah edisi khas, penyertaan minimum dikurangkan daripada lapan ke enam negeri, serta melanjutkan tarikh tutup pendaftaran sehingga 30 Jun.

Namun, setelah tarikh tutup, beberapa acara masih tidak layak dipertandingkan kerana penyertaan kurang daripada enam kontinjen. Ia termasuk acara terjun 1 meter (m) papan anjal wanita, 3m papan anjal wanita, 10m platform wanita, 3m papan anjal seirama wanita dan 10m platform seirama wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong bahawa tiada acara terjun wanita pada Sukma kali ini kerana "sebab politik”.

Menurut Lian Ker, hanya lima lima negeri - Perak, Wilayah Persekutuan, Pahang, Sarawak dan Sabah menghantar penyertaan bagi acara 1m papan anjal dan 3m papan anjal, manakala 10m platform disertai oleh Perak, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama pula sekadar mendapat penyertaan daripada Wilayah Persekutuan dan Sarawak, katanya.

Lian Ker berkata, bukan sahaja acara terjun wanita, malah beberapa acara melibatkan karate wanita, olahraga 10,000m jalan kaki wanita, angkat berat wanita, kanu dan tinju lelaki turut tidak dapat diadakan kerana tidak melepasi syarat penyertaan minimum.

"Namun kita meneruskan semua acara terjun lelaki kerana memenuhi syarat (penyertaan minimum selepas syarat dilonggarkan). Bagaimanapun, keputusan (sukar menggugurkan acara terjun wanita) terpaksa dibuat,” katanya.

Pandelela menerusi Twitter semalam, meluahkan kekecewaannya kerana tiada acara terjun melibatkan wanita dianjurkan pada Sukma kali ini, hampir sebulan selepas Sarawak membuat rayuan untuk menyenaraikan semula acara berkenaan. - Bernama.