Syed Saddiq cabar kredibiliti saksi utama

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Jumaat bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Jumaat bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali di Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat.

Peguam, Gobind Singh Deo membuat permohonan tersebut ketika perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar itu yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid.

Permohonan tersebut dikemukakan selepas percubaan kali pertama untuk mendapatkan pernyataan bertulis Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin lalu.

Gobind berkata, permohonan itu kerana pihaknya percaya wujud percanggahan dalam keterangan lisan Rafiq di mahkamah dengan keterangan yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2020.

Kata Gobind, antara yang bercanggah adalah membabitkan lokasi serta masa arahan pengeluaran wang RM1 juta didakwa diberikan oleh Syed Saddiq.

Beliau berkata, Rafiq dalam keterangan lisan di mahkamah, tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil dana kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq untuk kempen di Muar sedangkan, dalam pernyataan SPRM, Rafiq sendiri bersetuju bahawa wang itu merupakan sumbangan ketika Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di Hotel De Palma.

“Tujuan majlis makan ini ialah mahu mendapatkan dana bagi Syed Saddiq untuk berkempen di parlimen itu,” katanya yang turut memohon supaya dibekalkan dengan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, permohonan yang dibuat oleh pasukan pembelaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau berkata, pembelaan dilihat cuba untuk mendapatkan kenyataan yang direkodkan SPRM bukan untuk mencabar kredibiliti saksi sebaliknya mahu melihat keseluruhan kandungan kenyataan itu.

“Sekarang ini pihak pembelaan melakukan percubaan kali kedua mengikut 'pintu belakang' untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan,” katanya.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, JC Azhar menetapkan Isnin depan untuk keputusan bagi permohonan tersebut.

Pada 7 Julai lalu, pembelaan membuat permohonan pertama untuk mencabar kredibiliti Rafiq berhubung kandungan pernyataan saksinya yang didakwa bercanggah dengan keterangan lisan di mahkamah.

Bagaimanapun, pendakwaan berhujah, bahawa pernyataan saksi Rafiq tidak mempunyai asas undang-undang kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakannya di mahkamah.

JC Azhar menolak permohonan pembelaan dengan berpendapat bahawa, pernyataan Rafiq tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti beliau kerana ia tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq juga menghadapi dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.