Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah berkenan lawat ISEAS

Sultan Ibrahim (dua kanan) dan Raja Zarith Sofiah (tengah belakang) berkenan melawat ISEAS di Universiti Kebangsaan Singapura pada Jumaat.
Sultan Ibrahim (dua kanan) dan Raja Zarith Sofiah (tengah belakang) berkenan melawat ISEAS di Universiti Kebangsaan Singapura pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura pada Jumaat dengan berkenan melawat Institut Yusof Ishak (ISEAS) di Universiti Kebangsaan Singapura.

Lawatan baginda berdua ke ISEAS yang dinamakan sempena Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak amat bermakna kerana institut berkenaan mempunyai khazanah dokumen dan peta sejarah, termasuk yang berkaitan dengan Johor dan Malaysia.

Sultan Johor dan Permaisuri Johor berkenan meluangkan masa lebih sejam di ISEAS, dengan dipersembahkan taklimat mengenai beberapa judul buku, surat, dokumen dan peta tertua yang terdapat di institut berkenaan.

Institusi penyelidikan itu yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Singapura menjalankan pelbagai program penyelidikan; mengadakan persidangan, bengkel, syarahan dan seminar dan serta menerbitkan jurnal penyelidikan dan buku.

ISEAS secara tidak langsung mempunyai koleksi pelbagai bahan serta sumber tentang Malaysia dan Johor yang turut menarik perhatian baginda berdua.

Sebaik selesai mengadakan lawatan di ISEAS, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat balik ke Johor Bahru.