30 majikan dikompaun gagal daftar pekerja

Arul (dua, kiri) dan Nallusamy (tiga, kiri) ketika operasi semalam.
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 30 majikan di Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM17,500 atas kesalahan tidak mendaftarkan pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, M Nallusamy berkata, 59 majikan lagi tidak layak berdaftar dengan Perkeso dan 65 majikan mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

"Jumlah tersebut berdasarkan 154 majikan yang kita lawati hari ini (semalam) melalui Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) 2019.

"Selain itu, terdapat kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Syarikat 2016, Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana sebanyak 44 majikan dilawati dan diperiksa. Daripada jumlah tersebut sebanyak 19 notis dikeluarkan masing-masing di bawah Register of Business (ROB) dan Register of Company (ROC) sebanyak 6 notis berjumlah RM30,000," katanya selepas selesai operasi, semalam di Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai.

Turut serta dalam operasi ini ialah Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar yang dilakukan secara bersepadu antara Perkeso, Pejabat Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Nallusamy berkata, terdapat 25,013 majikan yang aktif berdaftar dengan Perkeso Negeri Sembilan namun daripada angka ini masih ramai majikan yang tidak berdaftar sehingga kini.

Sebagai rekod, pada 2018, sebanyak 29 Notis Kompaun telah dikeluarkan kepada majikan yang ingkar dengan jumlah sebanyak RM26,500 sepanjang Program Ops Kesan dijalankan di Port Dickson.