Yang miskin semakin miskin

Penyelesaian holistik diperlukan bagi memperbaiki taraf kehidupan golongan miskin tegar. - Foto Bernama
Penyelesaian holistik diperlukan bagi memperbaiki taraf kehidupan golongan miskin tegar. - Foto Bernama
A
A
A

MASALAH kemiskinan di Malaysia yang diramalkan lebih teruk pada tahun hadapan perlu dipandang serius dan ditangani sehingga ke akar umbi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, bilangan ketua isi rumah di Malaysia yang dikategorikan sebagai miskin tegar kini meningkat kepada 144,932 setakat 30 Jun lalu.

Jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding 44,829 ketua isi rumah yang direkodkan tergolong dalam kumpulan berkenaan pada 2020.

Sama seperti negara lain di dunia, Malaysia juga tidak terlepas menghadapi isu kemiskinan yang semakin meningkat ekoran penularan Covid-19.

Penangan pandemik menunjukkan kemiskinan bukanlah sesuatu yang diminta. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Harga barang makin mahal, krisis kos sara hidup, inflasi dan pelbagai lagi faktor menjerumuskan penduduk ke dalam kemiskinan.

Ramai terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan. Turut terkena tempias adalah kanak-kanak yang masih bersekolah apabila simpanan ibu bapa tidak mencukupi, memaksa mereka untuk berhenti sekolah atau bekerja bagi menampung pendapatan keluarga.

Golongan mahasiswa tidak terkecuali dibebankan dengan masalah kewangan sedia ada. Mereka terpaksa ikat perut, kerap berpuasa, bergantung kepada roti dan mi segera.

Itu tidak termasuk lagi dengan komitmen untuk menjelaskan yuran pengajian, yuran asrama atau bayaran rumah sewa dan penggunaan minyak petrol untuk kenderaan.

Isu kemiskinan adalah sesuatu yang sangat rumit dan susah diatasi dengan hanya bersandarkan kepada bantuan serta sumbangan one-off semata-mata.

Sumbangan berbentuk wang atau bekalan makanan hanya membantu bagi jangka masa pendek. Ia belum tentu dapat membawa mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

Justeru, penyelesaian holistik diperlukan bagi memperbaiki taraf kehidupan golongan miskin tegar.

Memang diakui, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi membasmi kemiskinan. Selain bantuan bersasar, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) turut diwujudkan, bertujuan menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025 melalui Unit Perancang Ekonomi.

Besarlah harapan rakyat Malaysia agar program itu berjaya mencapai matlamat. Janganlah gah pada nama tetapi akhirnya entah ke mana.

Kerajaan perlu bertindak tegas memastikan masalah kemiskinan dapat diatasi dan pelebaran jurang kekayaan dapat dibendung.