Runsing cari baki RM13,370 kos pembedahan anak

Adzmarudin dan anaknya menunjukkan imbasan X-ray yang memperlihatkan tulang belakang Ahmad Darwisy Farhan bengkok.
Adzmarudin dan anaknya menunjukkan imbasan X-ray yang memperlihatkan tulang belakang Ahmad Darwisy Farhan bengkok.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bapa runsing memikirkan kos pembedahan anak bongsunya yang menderita penyakit skoliosis atau tulang belakang bengkok yang dihadapi sejak tiga tahun lalu.

Adzmarudin Abd Rahman, 54, berkata, dia memerlukan RM13,370 bagi membolehkan pembedahan segera dilakukan terhadap anaknya, Ahmad Darwisy Farhan, 19, dengan kos keseluruhan pembedahan RM31,730.

"Saya bersyukur kerana permohonan bantuan pembedahan daripada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah diluluskan sebanyak RM18,000.

"Tapi dana bantuan itu perlu digunakan sebelum tamat tempoh sah laku kelulusan iaitu hujung tahun ini dan saya juga perlu membuat bayaran bakinya sebelum tempoh itu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Garden Homes Seremban 2 di sini, pada Khamis.

Adzmarudin menunjukkan keadaan belakang anaknya.
Adzmarudin menunjukkan keadaan belakang anaknya.

Bagaimanapun katanya, dia berdepan masalah untuk mengumpul wang sebanyak itu kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selepas berhenti kerja sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan pada 2005 selain telah diisytiharkan muflis.

Ujarnya, bagi meneruskan kehidupan, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah kerja-kerja pertukangan manakala isterinya mengambil upah sebagai pengasuh.

"Jadi saya memang tak mampu cari baki kos pembedahan itu kerana tiada kerja tetap.

"Waktu kecemasan begini saya sangat berharap jika pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat benarkan saya buat pengeluaran wang bagi membiayai kos pembedahan anak," katanya.

Adzmarudin berkata, dia terpaksa membuang rasa malu untuk berkongsi permasalahan dihadapi demi memastikan anaknya itu dapat dibedah segera.

Jelasnya, permohonan bantuan juga ada dibuat kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan masih menunggu kelulusan.

"Saya sebenarnya tidak mahu menyusahkan sesiapa dan tak terfikir pun meminta derma. Malu nak meminta-minta ini.

"Tapi anak saya sakit dan tulang itu telah menghimpit paru-paru serta jantung dia. Dari air muka dia saya tahu dia selalu menahan sakit.

"Sekarang ini dia perlu bergantung dengan ubat tahan sakit dan ia menyukarkan pergerakannya untuk melakukan aktiviti seharian," katanya.

Akibat penyakit skoliosis yang dihadapinya, Ahmad Darwisy Farhan tidak boleh berdiri lama.
Akibat penyakit skoliosis yang dihadapinya, Ahmad Darwisy Farhan tidak boleh berdiri lama.

Adzmarudin berkata, anaknya mula disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia 16 tahun, namun pada waktu itu tidak begitu serius.

Ujarnya, ia dikesan selepas anaknya dihantar ke hospital oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami demam.

"Dia diminta membuat imbasan X-ray dan ketika itulah doktor memberitahu tulang belakangnya bengkok.

"Tapi disebabkan waktu itu anak saya tidak berasa sakit, tiada rawatan lanjut diambil namun mula memberi kesan ketika mahu mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bertambah teruk sejak beberapa bulan ini," katanya.

Tambahnya, anaknya kini yang menyambung pengajian di Pusat Asasi Sains Hayat di Universiti Malaysia Sabah sedang cuti semester.