Saksi sahkan Bella berusia 15 tahun pada tahun 2020

Siti Bainun hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Siti Bainun hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis diberitahu bahawa usia remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella ketika menjalani ujian X-ray bone age (anggaran usia tulang) pada tahun 2020 berumur 15 tahun.

Pegawai Perubatan Jabatan Radiologi Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr B Anulaawathi, 39, berkata, umur remaja itu diketahui 15 tahun selepas analisis dibuat melalui tiga aspek iaitu chronological age, brush foundation data dan buku rujukan, Radiographic Atlas of Skeletal Development of the Hand and Wrist Book by Greulich and Pyle.

Saksi pendakwaan ke-13 yang sebelum ini bertugas di Jabatan Radiologi Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur berkata, laporan X-ray itu telah siap pada 3 Ogos 2020 selepas menerima permohonan X-ray daripada Jabatan Pediatrik pada 23 Julai 2020.

"Bila dibandingkan dengan gambar rujukan X-ray bagi umur 13 tahun, kami mendapati masih tidak sama dengan imbasan X-ray tulang Bella.

"Bella lebih tua daripada gambar rujukan umur 13.6 tahun (13 tahun enam bulan). Kami terus melihat pada gambar rujukan untuk umur 15 tahun dan mendapati gambar itu sama dengan X-ray Bella iaitu plat pertumbuhan tulang di pergelangan tangan masih kelihatan,” kata saksi itu.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi.

Ketika ditanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, sama ada buku rujukan itu digunakan sebagai prosedur operasi standard (SOP) bagi analisis bone age di hospital seluruh negara, saksi itu menjawab ya.

Sementara itu, Dr Anulaawathi berkata, buku rujukan itu mengandungi siri X-ray sebagai rujukan bagi jantina dan umur seseorang individu bermula lahir sehingga berusia 18 tahun.

Semasa ditanya pendakwaan sepanjang melakukan prosedur analisis bone age adakah beliau pernah berjumpa dengan sesiapa termasuk Bella dan pasukan pediatrik, saksi menjawab: Tidak.

Beliau berkata, tiada keperluan (berjumpa) kerana semua maklumat telah berada di dalam sistem.

Ketika ditanya peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, peranan saksi itu hanya menyediakan laporan selepas mendapat arahan daripada pasukan pediatrik, Dr Anulaawathi menjawab: Betul.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung petang ini. - Bernama