[VIDEO] Kerajaan sedang kaji ketum, kanabis untuk perubatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum yang pertama akan diadakan pada Isnin hadapan.

Menurutnya, jawatankuasa itu yang dipengerusikan beliau akan melihat kepada bukti terkini berkenaan ketum dan kanabis bagi tujuan perubatan.

"Selepas jawatankuasa ini mendapat pandangan daripada pakar-pakar sama ada ketum atau kanabis boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan-tujuan tertentu untuk perubatan, maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk sedemikian.

"Maka ini akan memberi kesan kepada penanam ketum yang mungkin boleh mendapatkan hasil ekonomi daripada penjualan hasil ketum mereka," katanya.

Bagaimanapun Khairy berkata, untuk ketum, Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi mahu melihat bukti terlebih dahulu sebelum ia boleh digunakan.

“Tetapi bagi kanabis ada kemungkinan besar kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk-produk yang ada kaitan dengan kanabidiol (CBD) menjelang akhir tahun ini supaya dapat dipertimbangkan pendaftarannya dan penggunaannya untuk penyakit-penyakit tertentu pada tahun hadapan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Khairy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai hala tuju ketum di negara ini dan adakah produk ketum dapat dijual.

RUU Racun (Pindaan) 2022 itu kemudiannya diluluskan dengan sebulat suara di Dewan Rakyat.

Pindaan tersebut bagi memperkukuhkan kawalan ke atas racun dan bahan psikotropik serta memberi fleksibiliti dalam pengendalian racun untuk tujuan yang sah di samping mengemas kini Akta 366 agar selaras dengan keperluan semasa.

Untuk rekod, akta itu dipinda kali terakhir pada tahun 1988 melalui Akta Racun (Pindaan) 1988 [Akta A695] yang antara lain memperuntukkan kesalahan berkaitan bahan psikotropik.