Bersih tuntut RUU Perkhidmatan Parlimen disegerakan

Wan Junaidi (tiga dari kanan) menerima memorandum menggesa pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen disegerakan daripada Thomas (dua dari kiri).
Wan Junaidi (tiga dari kanan) menerima memorandum menggesa pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen disegerakan daripada Thomas (dua dari kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) serta badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen disegerakan.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, ia bagi menyakinkan orang ramai bahawa kerajaan masih komited terhadap reformasi-reformasi dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangan bersama pembangkang.

Menurutnya, usaha mengembalikan undang-undang perkhidmatan Parlimen melalui penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen dan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen Malaysia seharusnya menggunakan pendekatan 'collaborative model' diantara pihak kerajaan dan masyarakat sivil (CSO).

"Usaha bersama ini boleh bermula dengan kesediaan pihak kerajaan membentangkan draf RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang lebih komprehensif dan terperinci untuk diteliti, disemak dan dirunding secara bersama dan terbuka oleh CSO di Malaysia.

"Dengan kaedah sebegini, perbincangan untuk menghasilkan sebuah RUU yang komprehensif akan menjadi lebih baik dengan semua pihak termasuk kerajaan dan CSO bersedia berbincang secara ikhlas dan terbuka," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sesi penyerahan memorandum tuntutan kumpulan masyarakat sivil berhubung pengembalian undang-undang perkhidmatan Parlimen dan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen Malaysia kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di luar pagar Parlimen pada Khamis.

Memorandum sama turut diserahkan kepada beberapa ahli Parlimen antaranya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir (dua dari kanan) menerima memorandum yang diserahkan Bersih.
Dr Mahathir (dua dari kanan) menerima memorandum yang diserahkan Bersih.

Sementara itu Wan Junaidi berkata, kerajaan komited dalam merealisasikan transformasi Parlimen namun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum ia dibentangkan ke Parlimen.

"Semalam (Rabu) semasa berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, saya ada bangkitkan lagi mengenai perkara ini.

" Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara, dua-dua berada di belakang kita sekarang dan kerajaan Insya-ALLAH akan setuju.

"Cuma kena selesaikan beberapa perkara baharu contohnya kawal seliaan kepada anggota-anggota yang berkhidmat dengan Parlimen dan kawal kewangan Parlimen itu sendiri. Itu ada sedikit perkara yang perlu diperhalusi," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau telah meminta kepada Azhar supaya majlis dipengerusikan oleh dua Speaker itu mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan RUU itu dibentangkan.

"RUU sudah siap serta boleh dibentangkan jika kedua-dua Speaker bersetuju untuk dibentangkan.

"Secara prinsip kerajaan telah bersetuju, cuma perincian RUU perlu dimasukkan dalam kabinet, mungkin minggu depan.

Sesi penyerahan memorandum yang diadakan di luar pagar Parlimen pada Khamis.
Sesi penyerahan memorandum yang diadakan di luar pagar Parlimen pada Khamis.

"Pelaksanaan mungkin tidak serta-merta kerana melibatkan undang-undang. Ada peraturan yang perlu dipinda serta perubahan fizikal dari segi pelaksanaan kerajaan melantik pegawai yang perlu dibincangkan," katanya.