Erat hubungan Johor, Singapura: Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim tiba di Singapura untuk lawatan rasmi di republik itu. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim tiba di Singapura untuk lawatan rasmi di republik itu. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah lawatan rasmi baginda ke Singapura yang bermula pada Rabu akan mengukuhkan hubungan Johor dengan republik itu.

Menerusi muat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu, lawatan tersebut juga akan membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.

“Besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baginda ke republik itu.

Berangkat sama mengiringi baginda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani.

Titah Sultan Ibrahim, baginda juga berbesar hati atas jemputan rasmi daripada Perdana Menteri Singapura, malah baginda menghargai kepemimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan dan memakmurkan negara itu.

“Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek telah memberi manfaat kepada Johor terutama dalam pembangunan sosio-ekonominya. Saya juga mendoakan kesihatan anda (Hsien Loong) yang baik serta Singapura makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Sementara itu, Hsien Loong dalam ucapannya memberi penghormatan kepada persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama serta turut bersedia untuk terus mengukuhkan kerjasama.

“Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh,” kata beliau.