RM140 juta naik taraf HSA

Dr Aman (dua dari kiri) menunjukkan kepada Tian Soon (kiri) kerja-kerja menaik taraf yang akan dilakukan di HSA, Johor Bahru bermula bulan depan.
Dr Aman (dua dari kiri) menunjukkan kepada Tian Soon (kiri) kerja-kerja menaik taraf yang akan dilakukan di HSA, Johor Bahru bermula bulan depan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM140 juta bagi menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang sebelum ini pernah beberapa kali mengalami kebakaran.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, proses naik taraf itu dijangka bermula Ogos ini dan mengambil masa selama tiga tahun yang di jadual siap pada 11 Julai 2025 menerusi kontraktor yang dilantik, Selengara Maju Trading.

"Skop projek adalah menaik taraf bekalan elektrik utama dari 6.6 kilovolt (kV) kepada 33 kV, naik taraf sistem elektrik, sistem mekanikal, sistem pencegahan kebakaran, sistem gas perubatan, Building Automation System (BAS), sistem teknologi maklumat (ICT), kerja konservasi dan kerja perlindungan alam sekitar serta infrastruktur berkaitan.

"Proses naik taraf ini tidak akan mengganggu operasi HSA dan akan diteruskan seperti biasa. Projek ini dilakukan secara berfasa dan jika perlu kita akan pindahkan pesakit di HSA ke hospital lain bagi memastikan rawatan dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di HSA pada Rabu.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Sallleh serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu, melahirkan rasa sedih dengan kerajaan pusat yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur awam di negeri ini.

Baginda sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA, Hospital Sultan Ismail (HSI), Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan juga kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap serta selesa.

Tian Soon berkata, proses naik taraf berkenaan adalah satu keperluan selepas berlaku beberapa kebakaran yang serius di HSA pada 2016 sekali gus akan dapat menjamin keselamatan di hospital berkenaan.

Katanya, bagi tempoh enam bulan dari tarikh serah projek itu, pihak kontraktor akan melaksanakan kerja-kerja penyiasatan dan pengumpulan maklumat bagi penyediaan dokumen kebenaran sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapat kelulusan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya akan memohon kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan mengindahkan kawasan HSA termasuk menambah landskap, menurap jalan dan menaik taraf tempat meletak kereta juga akan dilakukan.

Selain itu katanya, satu tapak meletak kenderaan untuk HSA akan disediakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di kawasan penjara di Ayer Molek di sini melibatkan 70 petak parkir.

"MBJB akan menyediakan 'shuttle bus' secara percuma dari kawasan penjara itu untuk orang ramai yang mahu berurusan di HSA dan meletak kenderaan di situ dengan hanya mengambil perjalanan selama lima minit," katanya.

Jelasnya, permohonan tersebut juga termasuk menggantikan kemudahan lama yang terdapat di HSA seperti kipas dan kerusi termasuk peralatan medikal yang sudah rosak.

"Permohonan ini juga turut melibatkan penambahan kemudahan dan peralatan sedia ada seperti sistem ventilator kurang berkesan atau tidak berfungsi di wad-wad tertentu, " katanya.