Dilabel ahli Parlimen seksis, Tajuddin ‘naik angin’

Keadaan tegang melibatkan Tajuddin dengan ahli-ahli pembangkang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Keadaan tegang melibatkan Tajuddin dengan ahli-ahli pembangkang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara isu seksis dibangkitkan, sidang Dewan Rakyat sesi pagi bertukar panas apabila berlaku pertikaman lidah antara Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dengan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Kekecohan itu bermula apabila Tajuddin bangkit mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang) membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 membuat kenyataan yang mengaitkan dirinya sebagai seksis.

"Kamu (ahli Parlimen pembangkang) cuba untuk memperlihatkan kami (ahli Parlimen kerajaan) mempunyai imej yang buruk. Macam kita tidak ada maruah diri,” katanya.

Tajuddin merujuk kenyataan Teo Nie Ching (PH-Pulai) yang mengaitkan dirinya bersama-sama Ahli Parlimen Baling (Datuk Seri Azeez Abdul Rahim) dan Ahli Parlimen Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar Radin) sebagai seksis dan sering membuat kenyataan gangguan seksual terhadap ahli Parlimen wanita.

Tidak mahu membiarkan pertikaman lidah itu berlanjutan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Tajuddin bertenang dan mengembalikan pentas dewan kepada Azalina.

Bagaimanapun, RSN Rayer (PH-Jelutong) bingkas bangun mempertikaikan tindakan Rashid yang masih bertoleransi dengan Tajuddin berbanding tindakan menghalau Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada Isnin lalu.

"Timbakan Speaker kemarin (Ahli Parlimen) Kota Belud dihalau, perangai macam ini (Tajuddin) mengapa tidak halau keluar?" desak Rayer.

"Kenapa kamu cabar Speaker? Kenapa provok Speaker?" teriak Tajuddin.

Mempertahankan pendirian beliau, Tajuddin berkata, tuduhan kepada dirinya dan dua lagi Ahli Parlimen seksis adalah tidak benar.

"Mereka tidak kenal siapa kami, bagaimana kita menjaga maruah wanita terutamanya Wanita UMNO.

"Kamu boleh tanya mereka, yang masalah ini adalah wanita DAP. Perangai tidak senonoh mulut cabul," katanya lagi.

'Drama' pertikaman lidah selama 30 minit ini bagaimanapun dileraikan oleh Rashid.

"Saya arahkan Pasir Salak (Tajuddin) agar tidak mengulangi dan saya minta Kota Samarahan untuk teruskan perbahasan beliau," katanya setelah didesak oleh Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Rayer.

Sesi bahas RUU Anti Gangguan Seksual 2021 bersambung dengan sesi perbahasan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan).