KPDNHEP rampas 20,000 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

Ahmad Khuzairi memeriksa lori tangki yang digunakan oleh sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang ditemui di sebuah premis di kawasan Perindustrian Mahsan pada Isnin. Foto: KPDNHEP Kuala Pilah
Ahmad Khuzairi memeriksa lori tangki yang digunakan oleh sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang ditemui di sebuah premis di kawasan Perindustrian Mahsan pada Isnin. Foto: KPDNHEP Kuala Pilah
A
A
A

JEMPOL - Dua lelaki tempatan ditahan di kawasan Perindustrian Mahsan di Bahau pada Isnin selepas dipercayai terlibat dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi.

Suspek masing-masing berumur 20-an dan 30-an ditahan sepasukan penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Pilah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tengah Cheras pada kira-kira jam 6 petang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Kuala Pilah, Ahmad Khuzairi Salamat berkata, salah seorang suspek mengalami kecederaan ketika cuba melarikan diri semasa serbuan dijalankan dan sedang dirawat di Hospital Jempol.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis dan suspek tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan Barang Kawalan Berjadual.

"Kira-kira 20,000 liter diesel, sebuah lori,sebuah kereta, sebuah 'skid tank' dan 10 unit tangki petak serta lain-lain peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel seperti pam penyedut diesel dan motor elektrik turut disita," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Khuzairi melihat tangki petak mengandungi diesel bersubsidi yang ditemui dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Mahsan pada Isnin. Foto: KPDNHEP Kuala Pilah
Ahmad Khuzairi melihat tangki petak mengandungi diesel bersubsidi yang ditemui dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Mahsan pada Isnin. Foto: KPDNHEP Kuala Pilah

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM106,400 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20(1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

"Pihak Pejabat KPDNHEP Cawangan Kuala Pilah akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan diesel di daerah ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sindiket tersebut.

"Para peniaga juga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP dalam menjalankan perniagaan dan perdagangan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada KPDNHEP melalui saluran yang ditetapkan antaranya Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my), Call Centre 1-800 886 800 dan WhatsApp di 019-279 4317.