Barakan semula aura This Is Kota Bharu

Syed Sobri (tiga, kanan) meraikan jaringan bersama pemain TRW ketika perlawanan Liga Premier menentang UiTM di Kota Bharu. - Foto Bernama
Syed Sobri (tiga, kanan) meraikan jaringan bersama pemain TRW ketika perlawanan Liga Premier menentang UiTM di Kota Bharu. - Foto Bernama
A
A
A

KELANTAN FC diharap dapat mengembalikan aura This Is Kota Bharu apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat ini.

Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, aura itu penting dalam misi meraih tiga mata seterusnya melebarkan kedudukan mereka selaku pendahulu Liga Premier.

“Kita faham JDT II adalah antara pasukan yang kuat berdasarkan prestasi semasa dalam Liga Premier. Jadi para pemain perlu wujudkan semula aura This Is Kota Bharu.

“Pemain-pemain perlu mempunyai semangat juang tinggi bahawa pasukan akan memberi tentangan hebat kepada setiap lawan di Kota Bharu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Kelantan FC kini menerajui carta Liga Premier selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas UiTM FC hasil jaringan tunggal Syed Sobri Syed Mohd di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin.

Tiga mata berharga yang diraih itu membolehkan anak-anak buah Rezal Zambery kembali memimpin Liga Premier dengan mengumpul 25 mata diikuti Terengganu FC II (23 mata) dan JDT II (21 mata).

Dalam pada itu, Rezal Zambery mengakui kehadiran penyokong The Red Warriors (TRW) juga penting dalam membarakan kembali aura di gelanggang keramat tersebut.

“Sebenarnya aura This Is Kota Bharu juga boleh dibarakan dengan sorakan penyokong. Apabila penyokong datang ke stadium, secara tidak langsung akan memberi suntikan semangat kepada pemain.

“Sorakan penyokong juga dapat mengembalikan semangat para pemain yang tidak bermain baik pada awalnya kembali memberikan prestasi terbaik mereka,” ujarnya.

Pada masa sama Rezal Zambery mengakui bahawa gergasi pantai timur itu masih dalam proses pemburuan kejuaraan liga.

“Ya, Kelantan FC di landasan terbaik ke arah menjadi juara liga, namun pasukan ini tetap mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Momentum para pemain juga sememangnya ke arah itu, namun saya tidak mahu mereka berada dalam keadaan selesa kerana masih terdapat baki perlawanan perlu ditempuhi.

“Para pemain juga perlu meningkatkan permainan kerana selepas ini pasukan akan bertemu lawan yang lebih kuat dan berkualiti,” ujarnya.