Tangan kiri tentera hancur, hampir putus tersangkut rim motosikal

Tangan kiri mangsa hancur dan hampir putus selepas tersangkut pada rim motosikal diboncengnya di hadapan Hospital Tentera Darat Gemas, Tampin pada Selasa. Foto: Ihsan pembaca
Tangan kiri mangsa hancur dan hampir putus selepas tersangkut pada rim motosikal diboncengnya di hadapan Hospital Tentera Darat Gemas, Tampin pada Selasa. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

TAMPIN- Tangan kiri seorang anggota tentera hancur dan hampir putus selepas tersangkut pada rim motosikal yang diboncengnya di hadapan Hospital Tentera Darat Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun yang bertugas di Skuadron Keempat Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) kem berkenaan membonceng motosikal ditunggang rakannya yang juga berusia 37 tahun bagi menghadiri latihan jasmani.

"Namun sebaik tiba di lokasi, jaket dipakai mangsa tersangkut pada sprocket (gegancu) motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki.

"Ia menyebabkan baju tersebut terbelit dan mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum tangan kirinya termasuk ke dalam rim tayar motosikal," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Mangsa yang hancur dan hampir putus tangan kiri diangkat ke atas usungan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Foto: Ihsan pembaca
Mangsa yang hancur dan hampir putus tangan kiri diangkat ke atas usungan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Foto: Ihsan pembaca

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan tangan kiri mangsa hancur dan hampir putus serta patah kaki kiri manakala penunggang motosikal tidak cedera.

Ujarnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan, Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.