Tingkat hasil udang galah di Rompin

Abdullah (duduk, kiri) melepaskan udang galah di Sungai Rompin. - Foto Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Pahang
Abdullah (duduk, kiri) melepaskan udang galah di Sungai Rompin. - Foto Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Pahang
A
A
A

ROMPIN - Jabatan Perikanan Negeri Pahang dalam usaha meningkatkan pengeluaran sumber perikanan untuk makanan dengan melepaskan 130,000 benih udang galah ke Sungai Rompin dan Sungai Pontian.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pelepasan benih dan induk udang galah bernilai tinggi di dua sungai itu dapat membantu menambah pendapatan nelayan darat di daerah ini.

Beliau yakin pendapatan nelayan darat di Sungai Pontian dan Sungai Rompin akan bertambah dua hingga tiga kali ganda selepas ini.

“Harga udang galah daerah ini antara RM60 hingga RM80 sekilogram bergantung kepada gred atau saiznya, di sungai berkenaan turut terdapat spesies ikan sembilang, siakap dan Ketutu yang harganya juga tinggi.

“Jadi, kita percaya sumber perikanan yang ada di perairan Rompin dapat dimanfaatkan bukan sahaja nelayan darat tetapi juga masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, Abdullah bersama Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin, Nina Rozanna Che Roper telah melepaskan benih dan induk udang galah di Sungai Pontian dan Sungai Rompin.

Beliau menjelaskan daerah Rompin dipilih untuk pelepasan benih dan induk udang galah kerana daerah tersebut sudah lama terkenal dengan gelaran sepit biru.

Katanya, ramai pelancong tempatan dan Singapura datang ke Rompin untuk menikmati hidangan udang galah.

“Justeru, bagi menjamin sumber perikanan di daerah ini dapat terus kekal, kita membantu menambah sumber perikanan di dua sungai terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah mengingatkan nelayan darat mahupun individu tidak menggunakan peralatan destruktif hingga memusnahkan udang galah dan ikan.

“Perbuatan meracun, tuba, bahan letupan dan elektrik antara kaedah yang kerap digunakan individu yang hanya mementingkan diri sendiri hingga sanggup berbuat apa sahaja.

“Penggunaan peralatan berkenaan merupakan suatu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 yang boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah," katanya,