PKR Kuala Nerus mahu Najib disiasat

Ghazali (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan selepas membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak pada Selasa
Ghazali (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan selepas membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak pada Selasa
A
A
A

KUALA NERUS - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Nerus membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana didakwa cuai hingga menyebabkan negara berdepan tuntutan berjumlah RM67.5 bilion daripada waris kesultanan Sulu.

Laporan dibuat Ketua Penerangan PKR Cabang Kuala Nerus, Ghazali Mat Min di Balai Polis Gong Badak di sini pada jam 12.23 tengah hari.

Menurut Ghazali, beliau dan rakan kepimpinan PKR tampil membuat laporan polis bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia demi memastikan kestabilan negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya meminta supaya pihak berkuasa menyiasat Datuk Seri Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah sedia ada (Akta 574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan, seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395) untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan beliau dalam menangani isu ini," katanya pada Selasa.

Ghazali berkata, tuntutan itu bermula ekoran keputusan pentadbiran Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu (seperti kehendak perjanjian) dalam tahun 2013.

Kata Ghazali, sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan.

"Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

"Saya berharap laporan ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara," katanya.