[VIDEO] Kepimpinan PKR buat laporan polis terhadap Najib

Fahmi bersama ahli PKR Lembah Pantai tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lembah Pantai pada Selasa.
Fahmi bersama ahli PKR Lembah Pantai tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lembah Pantai pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh pelbagai peringkat kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, laporan polis dibuat selepas Najib didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan negara berdepan tuntutan kira-kira RM67.5 bilion daripada waris keturunan Sulu.

"Laporan polis ini berkait satu dakwaan kecuaian Najib dalam isu penyelesaian tuntutan waris Sultan Sulu yang dilihat sudah menampakkan kesan selepas dua aset Petronas di Azerbaijan disita dan diambil alih.

"Kita memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan segera kerana kita lihat tindakan pengambilalihan aset-aset negara yang berlaku sekarang, kita tidak mahu lebih banyak aset negara diambil sedemikian rupa," katanya dalam sidang media selepas tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lembah Pantai di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris kesultanan Sulu.

Menurut beliau, undang-undang negara memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang cuai dalam menjalankan tugas awam.