Ahmad Bashah perjelas isu Musang King di Gunung Inas

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai kenyataan Mukhriz berhubung keputusan kerajaan negeri di bawah BN menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian musang king di Gunung Inas.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai kenyataan Mukhriz berhubung keputusan kerajaan negeri di bawah BN menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian musang king di Gunung Inas.
A
A
A

ALOR SETAR – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Selasa memberi penjelasan mengenai isu penanaman durian Musang King di ladang hutan di Gunung Inas, Baling.

Ahmad Bashah menegaskan, kerajaan negeri di bawah pentadbirannya ketika itu memberi kelulusan penanaman tersebut untuk melindungi semula kawasan terlibat.

Ketika mengambil alih sebagai Menteri Besar Kedah, beliau berkata, sebuah syarikat tempatan iaitu ECK Development Sdn Bhd membeli syarikat Aman Mega yang sebelum itu diberi kelulusan untuk menguruskan kawasan Gunung Inas di Baling oleh Menteri Besar Kedah terdahulu.

“Pada masa itu, cadangan yang dikemukakan oleh ECK kepada saya adalah supaya kawasan berkenaan dijadikan ladang durian Musang King pada sekala besar.

“Tujuan tidak lain adalah untuk memastikan kawasan yang sebelum ini dijalankan aktiviti pembalakan dilindungi semula dengan tanaman supaya ia kelak tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kelulusan itu tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan yang baharu kerana aktiviti pembalakan sudah pun berlaku dan tumpuan kerajaan adalah untuk memastikan supaya kawasan berkenaan dilindungi semula, dibaik pulih selepas pembalakan.

Beliau memberitahu, ia lebih kepada kesinambungan daripada aktiviti yang dicadangkan oleh syarikat-syarikat yang dipertanggungjawabkan sebelum ini.

“Cadangan dari ECK itu kemudiannya diangkat untuk pertimbangan kerajaan. Sebagai Menteri Besar, sudah tentu saya tidak boleh mengambil keputusan semberono.

"Ia perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas di peringkat kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, sebenarnya terdapat banyak cadangan lain lagi tetapi cadangan daripada ECK tampak lebih meyakinkan bagi kerajaan pada masa itu.

Beliau menerangkan pelbagai faktor termasuk faktor ekonomi, alam semulajadi, kepentingan penduduk dan sebagainya turut diambil kira sebelum kelulusan diberikan.

“Susulan itu, saya tegaskan kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut, di samping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, apa yang penting bagi kerajaan adalah isu di kawasan hutan Inas sebelum itu diselesaikan segera.

“Tidak pula saya berpolitik untuk menuding jari kepada sesiapa kerana saya sangat faham kerajaan negeri mana sekalipun tidak akan membiarkan perkara ini berterusan.

“Apa yang berlaku ketika pertukaran kerajaan berlaku, perkara ini turut menerima tempias. Lain orang lain cara pemikirannya,” katanya.

Bagi beliau, pentadbiran dari satu Menteri Besar ke satu Menteri Besar lain menyebabkan beberapa perubahan berlaku dari segi cara berfikir dan cara mentadbir negeri yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkara seperti itu.

“Sebab itu saya katakan di sini, bahawa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya tidak lagi menjadi Menteri Besar dan sudah tiada apa-apa lagi kuasa ke atas mana-mana keputusan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Bashah berpandangan bahawa Menteri Besar selepas beliau sudah tentu akan mengambil alih tanggungjawab untuk apa saja hal pentadbiran negeri termasuk isu berkenaan.

Beliau berkata, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa jika kerajaan atau pimpinan negeri untuk mengambil keputusan sama ada mahu membatalkan atau meneruskan usaha kerajaan negeri terdahulu.

“Terserah kepada mereka. Jadi bagi saya isu pokoknya adalah kerajaan mencari jalan untuk melindungi semula kawasan yang telah dibalak,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah berkata, ia tidak bermakna beliau mengatakan pembalakan itu salah kerana ia tidak boleh dibuat sewenang wenangnya dan perlu melalui kelulusan kerajaan.

“Apa yang saya tekankan di sini bahawa perkara ini tidak perlu dipolitikkan secara keterlaluan. Hentikan menyalahkan satu sama lain. Teruskan usaha dan ambil tindakan segera,” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan keputusan untuk menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian musang king di Gunung Inas dilakukan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ditadbir oleh Menteri Besar Kedah ketika itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan untuk menanam semula kawasan tersebut gagal melaksanakannya menyebabkan Aman Mega Sdn Bhd dilantik mengambil alih tanggungjawab itu.