Tekong, awak-awak cuba seludup PATI ditahan

Empat warga Indonesia ditahan. Foto: Ihsan Maritim Malaysia
Empat warga Indonesia ditahan. Foto: Ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

PORT DICKSON – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan seorang tekong dan dua awak-awak kerana cuba menyeludup seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di perairan Port Dickson di sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, bot dinaiki suspek berjaya ditahan jam 2.30 pagi di 8.0 batu nautika Barat Daya Pulau Arang - Arang, di sini selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Bot ronda maritim yang sedang membuat rondaan operasi telah mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot di perairan Port Dickson.

"Pasukan operasi telah mengarahkan bot untuk berhenti, namun tidak diendahkan suspek dan telah berlaku aksi mengejar suspek hampir 30 minit sebelum berjaya ditahan jam 2.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot gentian kaca berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran itu telah menemukan tiga lelaki dipercayai tekong, awak-awak dan seorang wanita.

Tambahnya, kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Sementara itu katanya, berdasarkan statistik tahun ini, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan telah merekodkan tiga kes tangkapan di bawah Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Ujarnya, maritim sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

"Masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat aktiviti jenayah dan kecemasan di laut boleh salurkan di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.