Penganggur berdepan hukuman mati dakwaan bunuh wanita

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Temerloh pada Selasa.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Temerloh pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 5 Julai lalu.

Tertuduh, K Yogeswaran, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana ia melibatkan kes bunuh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 5 Julai 2022 kira-kira jam 6.30 pagi hingga 8 pagi bertempat di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Siti Zulliana Mohd Said, 52.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula pada 25 Ogos untuk laporan bedah siasat dan tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Warda Nabilah Mohd Abd Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu di mahkamah sama, Yogeswaran mengaku salah atas dua pertuduhan mencuri dan menggunakan dadah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa pada 5 Julai 2022 kira-kira jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dengan curang mencuri sebuah kereta jenis Honda City warna perak milik Mohd Haris Ibrahim, 58.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Siti Hajar kemudiannya menetapkan sebutan semula pada 17 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

Pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa pada 8 Julai 2022 kira-kira jam 12 tengah hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera telah disyaki menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 15(1) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 38B akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan.

Siti Hajar kemudiannya menetapkan sebutan semula pada 19 Oktober depan.

Tiada jaminan juga ditawarkan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Temerloh pada hari sama, tertuduh juga berdepan pertuduhan merompak di lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa pada 5 Julai 2022 kira-kira jam 6.30 pagi hingga 8 pagi bertempat di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera didapati dengan curang telah melakukan rompak wang tunai RM9,300 milik, Mohd Haris Ibrahim, 58, dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Sabri dan Ezuain Farhana Ahmad.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula 17 Ogos untuk fakta dan hukuman, manakala tiada jaminan ditawarkan.