Penganjuran pertandingan Aritmetik tidak menepati piawaian?

Cheng Hock (kanan) bersama cucunya Xin Yiu.
Cheng Hock (kanan) bersama cucunya Xin Yiu.
A
A
A

IPOH - Seorang warga emas lelaki kesal dengan penganjuran Pertandingan Aritmetik Kebangsaan sempena Fiesta Red Sonata di sebuah universiti tempatan, baru-baru ini yang dilabelkan sebagai tidak menepati piawaian sebenar.

Ong Cheng Hock, 72, berkata, dia kesal dengan penganjuran pertandingan itu yang dilihat memiliki banyak kelemahan terutama daripada segi penganjurannya biarpun ia adalah pertandingan di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, pihak penganjur juga dilihat melakukan kesilapan pada majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan berkenaan.

“Ini kali pertama saya bawa cucu saya Lee Xin Yiu yang berusia 9 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bercham menyertai pertandingan ini. Cucu saya dah bersedia selama dua tahun. Dia ikut latihan dan prestasinya bagus dan dinilai oleh cikgu dan pelatih.

“Malangnya, nama cucu saya tak ada dalam senarai pemenang. Saya minta untuk semakan, tapi ditolak. Lepas itu cucu saya dapat tempat ketiga dan diberikan sekeping sijil,” katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui Ketua Biro Pengaduan & Perkhidmatan Awam MCA Perak Aldrich Low Guo Nan.

Cheng Hock berkata, cucunya juga tidak menerima baju-T seperti dijanjikan penganjur selepas pendaftaran RM40 dibuat dan perkara sama turut dialami peserta lain.

“Ramai peserta yang tak dapat T-shirt walaupun dah bayar RM40 dan duit pun tak dipulangkan semula kepada orang ramai. Mereka kata kilang tak dapat hantar baju. Selain itu, pemenang juga tak terima piala seperti dijanjikan penganjur.

“Saya bimbang pengalaman seperti ini akan menjejaskan keyakinan cucu saya untuk menyertai pertandingan pada masa hadapan termasuk pertandingan Matematik Olimpik pada April ini dan pertandingan di luar negara Jun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pihak sekretariat pertandingan berkenaan ketika dihubungi memaklumkan segala kesulitan yang berlaku pada pertandingan itu, tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut jurucakap sekretariat berkenaan, mungkin berlaku kesilapan teknikal ketika penyampaian sijil kepada pemenang.

“Ketika pengumuman dibuat, mungkin Xin Yiu tidak mendengar pengumuman itu dan menyebabkan dia tidak menerima sijil,” katanya.