Kemalangan maut makin membimbangkan

Aspek kecuaian dan sikap pemandu ketika di jalan raya juga sering dikaitkan sebagai penyebab utama nahas jalan rayaGambar hiasan.
Aspek kecuaian dan sikap pemandu ketika di jalan raya juga sering dikaitkan sebagai penyebab utama nahas jalan rayaGambar hiasan.
A
A
A

MASIH relevankah lagi slogan ‘Pandu Cermat Jiwa Selamat’ dan ‘Berhati-Hati Di Jalan Raya’ mutakhir ini apabila kes kemalangan maut boleh dikatakan kebanyakannya disebabkan kelalaian orang lain.

Bahkan, setiap kali berlakunya kemalangan, pasti kompetensi pemandu kereta mahupun pengendali kenderaan berat terus menjadi persoalan serta kritikan semua pihak.

Selain itu, aspek kecuaian dan sikap pemandu ketika di jalan raya juga sering dikaitkan sebagai penyebab utama nahas jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa saban hari di Malaysia.

Terbaharu, pasangan suami isteri di Georgetown, Pulau Pinang terus dirundung kesedihan apabila kehilangan dua anak dalam tempoh empat bulan akibat kemalangan jalan raya.

Masitah Md Isa, 44, baru kehilangan anak, Muhamad Shazril Haikal Mohd Abdul Sani, 20, Mac lalu yang maut dalam kemalangan di Parit Buntar, Perak melibatkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah treler.

Belum reda dengan kesedihan menimpa anak ketiganya itu, Masitah sekali lagi diuji apabila anak sulungnya Muhamad Shazwan Hakim, 22, maut, manakala kembar pemuda itu kini parah dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selepas pasangan itu terlibat dalam nahas beberapa buah motosikal dan kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi Ahad.

Sebelum itu, di Ipoh, empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada Rabu lalu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kemalangan jam 3.02 petang itu telah mengakibatkan empat mangsa dengan tiga daripadanya wanita tersepit dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ironinya, hasil pemeriksaan polis, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tersebut mempunyai 13 rekod kesalahan saman trafik dari 2008 hingga 2021 dan lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Pelbagai usaha dan pendekatan telah dilakukan kerajaan menerusi penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun insiden kemalangan terus catat angka besar di negara ini.

Masakan tidak, ketika PDRM melancarkan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri dua bulan lalu bermula 29 April sehingga 8 Mei, sebanyak 148 kemalangan maut melibatkan 154 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara.

Penunggang, pembonceng

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, angka itu adalah daripada 14,536 kemalangan melibatkan 18,897 kenderaan yang menyaksikan peningkatan berbanding Op Selamat 15 pada 2019.

Jelas beliau, Op Selamat 15 mencatatkan 14,250 jumlah kemalangan, 142 kemalangan maut dan 151 kematian melibatkan 18,140 kenderaan.

“Penunggang dan pembonceng motosikal yang maut menyumbang jumlah tertinggi kematian iaitu 97 (Op Selamat 18) berbanding 106 (Op Selamat 15). Ia diikuti kematian melibatkan kereta iaitu 40 (Op Selamat 18) berbanding 36 (Op Selamat 15).

“Pejalan kaki penyumbang ketiga tertinggi kematian iaitu 10 maut (Op Selamat 18) berbanding lapan maut (Op Selamat 15),” katanya.

Kebimbangan terhadap insiden kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa sejak kebelakangan ini menyebabkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori perlu dilakukan secara berkala dan mengejut di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan serta logistik.

Ka Siong menjelaskan, polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) boleh memberi kerjasama berhubung perkara itu, selain mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.

Malah, beliau juga melihat keperluan untuk melaksanakan ujian saringan terhadap pemandu bagi mengelak mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol sehingga boleh mengundang bahaya kepada pemandu lain.

Bagi penulis, apa pun pendekatan dilakukan kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dalam menangani kes kemalangan yang semakin membimbangkan, ia wajar disambut baik semua pengguna jalan raya.

Selain mematuhi setiap peraturan jalan raya, pemandu juga perlu bijak mengawal emosi ketika memandu dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan.

Kurangkan sifat penting diri sendiri dan jangan sesekali guna telefon bimbit ketika memandu. Kemalangan boleh dielak jika semua pihak sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan. Jadilah pemandu yang berhemah dan ingatlah orang tersayang. Anda mampu mengubahnya.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian