Kekal jual nasi lemak RM1 sebungkus

Zuraida menunjukkan nasi lemak berharga RM1 sebungkus yang dijual di kedainya.
Zuraida menunjukkan nasi lemak berharga RM1 sebungkus yang dijual di kedainya.
A
A
A

BESUT - Ketika masyarakat dihimpit bebanan peningkatan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barang, seorang peniaga di Kampung Cherang Meliling, di sini masih kekal menjual nasi lemak pada harga RM1 sebungkus.

Zuraida Mohd, 37, yang sudah meniaga nasi lemak berlaukkan sambal bilis dan sepotong telur rebus di sebuah gerai sejak enam tahun lalu tidak berhasrat untuk menaikkan harga makanan tersebut walaupun terpaksa menanggung penambahan kos.

"Memang semua barang sudah naik harga, bilis yang sebelum ini RM18 sekilogram sudah naik kepada RM20, santan sekilogram naik RM1 menjadi RM9 dan kenaikan paling ketara adalah telur namun saya masih mampu bertahan.

"Cuma untung yang diperolehi tidak banyak seperti dulu, ia berkurang 20 peratus kerana saya tidak buat sebarang perubahan, kuantiti nasi dan lauk tetap sama seperti enam tahun lalu ketika saya mula-mula berniaga," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Zuraida (kanan) bersama suaminya menunjukkan nasi lemak berharga RM1 sebungkus yang dijual di kedainya.
Zuraida (kanan) bersama suaminya menunjukkan nasi lemak berharga RM1 sebungkus yang dijual di kedainya.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 12 hingga tiga tahun itu berkata, sebanyak 150 bungkus nasi lemak habis dijual setiap hari dan jumlahnya meningkat kepada 250 bungkus pada hujung minggu atau cuti umum berikutan penambahan pelanggan.

Menurut Zuraida, nasi lemak seringgit yang dimasak sendiri dengan dibantu tiga pekerja mula dijual pada jam 7 pagi dan habis sekitar jam 10 hingga 12 tengah hari bergantung kepada hari-hari tertentu.

Beliau berkata, selain nasi lemak, dia turut menyediakan beberapa menu sarapan lain seperti kuih muih dan nasi berlauk ayam gulai, ayam masak merah serta gulai ikan pada harga RM4 sebungkus.

"Sebelum ini, saya jual lauk ayam pada harga RM3 sebungkus tapi terpaksa naikkan kepada RM4 selepas Hari Raya Aidilfitri lalu kerana harga ayam meningkat terlalu banyak.

"Tapi untuk nasi lemak, saya masih kekalkan harga lama walau tidak untung banyak, niat saya mahu berniaga sambil bersedekah.

"Semoga perniagaan saya dapat membantu orang ramai mendapatkan makanan pada harga mampu milik sekali gus mengurangkan bebanan kos sara hidup ketika berdepan kenaikan harga barang," katanya.