Mayat nelayan ditemukan enam kilometer dari lokasi hilang

Anggota bomba mengangkat mayat nelayan yang ditemukan lemas pada Isnin.
Anggota bomba mengangkat mayat nelayan yang ditemukan lemas pada Isnin.
A
A
A

BANTING - Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot terbalik berhampiran jeti Sungai Rambai Jenjarom di sini pada Ahad lalu berjaya ditemukan pada Isnin.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa berusia 30-an itu ditemukan pada jam 1.25 petang berhampiran jambatan Kampung Sawah Banting, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian jam 5.40 petang itu, bot dinaiki mangsa dikenali Azrai bersama dua rakannya, Ady Abdul Rahman, 56, dan Mohd Fairus Mohamad, 40-an, dilaporkan terbalik berhampiran jeti berkenaan.

"Dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan hilang.

"Pasukan bomba bertindak melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian selain Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut digerakkan ke lokasi, " katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, operasi pencarian diteruskan pada Isnin menggunakan dua bot bomba.

"Pencarian ditumpukan satu kilometer ke arah Sungai Manggis dan Pulau Carey.

"Mayat mangsa akhirnya ditemukan berhampiran jambatan Kampung Sawah Banting yang terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, " katanya.