Menteri Pembangunan Usahawan tiada hak ulas hal Lynas

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusuf tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk mengulas lanjut berkenaan pelaburan memproses nadir bumi, Lynas Corporation Limited (Lynas) yang beroperasi di Gebeng, Pahang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, adalah lebih baik hal-hal berkaitan dengan pelaburan diulas oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Tiada sebarang kaitan antara Lynas dengan Kementerian Pembangunan Usahawan, maksudnya beliau (Redzuan) tiada locus standi, saya ada (Ahli Parlimen Kuantan).

“Saya tetap dengan pendirian saya, sebab isunya seperti yang Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin kata, pra syarat untuk syarikat itu memperbaharui lesen ialah menghantar semula pembuangan sisa bahan radioaktif ke Australia,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjangkakan Lynas harus memenuhi pra syarat tersebut pada September ini dan berdepan isu tidak dapat memperbaharui lesen jika gagal berbuat demikian.

“Pada pandangan saya, mereka gagal tepati tempoh, lesen mereka tidak akan diperbaharui, sebab ini adalah pra syarat yang ditetapkan, saya tidak rasa Lynas harus dibenarkan terus beroperasi jika tidak patuhi dateline.

“Saya tak pernah nampak komitmen Lynas untuk penuhi standard Malaysia, sejak hari pertama beroperasi di sini,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lynas terlalu besar untuk diabaikan: Redzuan

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Redzuan berkata, pelaburan syarikat Lynas ‘terlalu besar’ untuk diabaikan oleh kerajaan.

Beliau berkata, oleh sebab itu, kerajaan tidak sewajarnya memaksa Lynas mengeksport semula sisa radioaktif ke negara pengeluarnya, Australia, kecuali ia dinilai sebagai ‘sangat tidak selamat’.

“Pelaburan syarikat Lynas terlalu besar untuk diabaikan, ia perlu diteruskan. Isu sisa itu perkara berlainan,” katanya.