DUN Kedah kecoh, Speaker tolak dua usul tergempar

Juhari menenteramkan keadaan yang sedikit kecoh apabila dua usul tergempar pembangkang ditolak.
Juhari menenteramkan keadaan yang sedikit kecoh apabila dua usul tergempar pembangkang ditolak.
A
A
A

ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak dua usul tergempar yang dikemukakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang pada persidangan DUN ke-14 pada Isnin.

Usul pertama dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh yang membawa isu banjir kepala air di Kedah memandangkan bencana tersebut berlaku dua kali yang menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda.

Ismail berkata, pihaknya bimbang bencana tersebut akan terus berlaku sekiranya tiada langkah khusus diambil memandangkan perubahan iklim tidak menentu sekarang ini.

“Oleh itu, saya mengusulkan agar isu bencana kepala air ini dibincangkan dalam sidang DUN kali ini kerana ia menepati kriteria, iaitu perkara yang perlu disegerakan dan melibatkan kepentingan awam,” katanya berdasarkan kepada surat usul tergempar bertarikh 17 Julai.

Usul kedua dikemukakan oleh ADUN Derga, Tan Kok Yew yang membawa usul agar menangguhkan mesyuarat DUN bagi membolehkan isu banjir kepala air dibincangkan.

Juhari kemudian memaklumkan, kedua-dua usul terbabit ditolak berikutan tempoh notis yang diberikan terlalu singkat walaupun pihaknya telah menerima cadangan usul tergempar sebelum persidangan bermula.

“Usul ditolak sebab tidak mengikut peraturan masa 14 hari. Sepatutnya ada 14 hari untuk kemukakan usul biasa, usul tergempar dan penting dalam tujuh hari manakala untuk usul yang terlalu penting dengan kebenaran Menteri Besar boleh dibuat dalam sehari,” jelas Juhari.

Bagaimanapun, Ismail memaklumkan notis tidak dapat diberikan lebih awal memandangkan bencana banjir di Baling berlaku pada 4 Julai.

Setelah membuat pertimbangan sewajarnya, Juhari menolak usul berkenaan susulan isu banjir sudah dapat ditangani dengan baik dan tiada keperluan untuk menangguhkan mesyuarat DUN.

Ismail kemudian mencadangkan agar usul tergempar beliau yang ditolak dapat dibacakan dalam DUN untuk makluman ahli-ahli Dewan sebelum sesi Rang Undang-Undang dibacakan.

“Untuk makluman, sudah dua kali kepala air berlaku, mungkin ada lagi lokasi yang berisiko. Ini melibatkan isu penting dan orang ramai, saya tak faham kenapa usul ini ditolak,” soal Ismail.

Ismail kemudiannya dibenarkan untuk membacakan usul tergempar terbabit sebelum sesi Rang Undang-Undang dibacakan.

Sebelum itu, Dewan sedikit kecoh apabila beberapa ADUN pembangkang bangkit menyatakan sokongan agar usul terbabit dibahaskan dalam persidangan kali ini, antaranya Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit), Teh Swee Leong (DAP-Kota Darulaman) dan Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun).

“Untuk elak sebarang spekulasi, lebih elok bahas dalam DUN dan Menteri Besar dapat perjelas apa yang dipersoalkan ADUN berkaitan isu ini,” kata Johari.

Swee Leong pula berharap laporan kajian dibentangkan secara terperinci dalam persidangan tersebut agar dapat mencegah kejadian berulang.

Sementara ADUN kerajaan turut bangkit menyatakan agar persidangan diteruskan seperti aturan Dewan.

“Kepala air di Yan berlaku pada 18 Ogos 2021 dan Baling pada 4 Julai lepas, tiada keperluan untuk bincang sekarang sebab berlaku lama dan diurus dengan baik termasuk sudah ada pelan tindakan,” kata Datuk Norsabrina Mohd Noor (UMNO-Bandar Baharu).

Pandangan itu disokong Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) yang menyarankan agar isu berkenaan dibawa ke persidangan akan datang bagi mengelak persepsi negatif terhadap ahli Dewan yang mahu agenda diteruskan dan tidak menyokong usul.

Sebelum meneruskan agenda Dewan, Juhari sekali lagi menegaskan, usul yang dibawa melibatkan perundangan dan dasar kerajaan negeri dan ia tidak boleh dilakukan secara spontan tanpa notis awal.

“Selepas mendengar semua hujah, selain masa tidak sesuai kerana ia tidak boleh dibuat dalam tergesa-gesa, tidak adil kepada kerajaan dan Speaker, saya cadangkan kita bawa isu berkenaan ke sidang akan datang dengan kemukakan kelak laporan lengkap dan lebih teratur,” katanya.