SMA Arab Yayasan Khairiah rugi RM1 juta akibat banjir Baling

Pelajar SMA Arab Yayasan Khairiah Kupang melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah yang dipenuhi lumpur akibat banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu. (Gambar kecil: Abdul Rahman, Ku Ardanan)
Pelajar SMA Arab Yayasan Khairiah Kupang melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah yang dipenuhi lumpur akibat banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu. (Gambar kecil: Abdul Rahman, Ku Ardanan)
A
A
A

BALING - Sekolah Menengah Agama (SMA) Arab Yayasan Khairiah, Kupang di sini menganggarkan berdepan kerugian lebih RM1 juta berikutan tragedi banjir dan kepala air yang melanda pada 4 Julai lalu.

Pengetuanya, Abdul Rahman Yahya berkata, tragedi berkenaan menyebabkan banyak peralatan persekolahan, perabot, bahan bacaan telah rosak dan musnah selain dihanyutkan air.

Menurutnya, pihak sekolah tidak sempat menyelamatkan harta benda terbabit kerana lebih mementingkan keselamatan seramai 1,300 pelajar yang dilanda banjir ketika itu.

"Air deras naik secara mendadak sehingga mencecah paras bumbung, mujur pelajar yang terperangkap sempat panjat siling kantin bagi menyelamatkan diri sehingga video mereka jadi tular," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100,000 daripada Pengarah Urusan Al Tamim World Sdn Bhd, Datuk Ku Ardanan Dollah pada petang Ahad.

Menurut Abdul Rahman, tragedi banjir kali ini adalah terburuk sejak 70 tahun dan menganggarkan kira-kira 50 peratus kelengkapan termasuk katil asrama, pintu, meja, kerusi, buku rujukan dan barangan pelajar turut terjejas.

Antara kawasan di SMA Arab Yayasan Khairiah, Kupang, Baling, Kedah yang terjejas akibat banjir dan kepala air.
Antara kawasan di SMA Arab Yayasan Khairiah, Kupang, Baling, Kedah yang terjejas akibat banjir dan kepala air.

"Saya bersyukur dan terima kasih buat semua pihak yang membantu melaksanakan kerja-kerja pascabanjir dan sehingga kini kerja-kerja baik pulih masih berjalan.

"Sekolah masih ditutup kerana banyak lagi pembersihan perlu dilakukan dan pemeriksaan juga perlu dibuat sebelum disahkan selamat untuk beroperasi semula," katanya.

Sementara itu, waris pelajar, Ismail Ahmad, 55, berharap agar kerja-kerja baik pulih dapat disegerakan bagi memastikan penangguhan persekolahan tidak mengambil tempoh yang lama.

Menurutnya, SMA Arab Yayasan Khairiah amat dekat di hatinya memandangkan kesemua lima anaknya belajar di situ sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sebak melihat kerosakan yang berlaku, saya pasti, ia memerlukan dana yang besar untuk pemulihan, saya doakan semua urusan dipermudahkan dan berterima kasih buat pihak yang turun padang membantu kerja pascabanjir bagi membolehkan anak-anak kembali belajar,"katanya.

Sementara itu, Ku Ardanan berkata, sumbangan kepada SMA Arab Yayasan Khairiah akan diberi secara berperingkat sehingga RM1 juta dalam usaha membantu meringankan beban pihak pengurusan selain mengharapkan agar sekolah berkenaan dapat beroperasi semula dengan kadar segera.