70 kes minyak masak peket dikesan dalam tempoh 15 hari

Rosol (dua, kiri) menyampaikan penghargaan kepada veteran ATM yang hadir ke majlis itu pada Ahad.
Rosol (dua, kiri) menyampaikan penghargaan kepada veteran ATM yang hadir ke majlis itu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan sebanyak 70 kes kesalahan berkaitan minyak masak peket subsidi dengan nilai rampasan berjumlah RM85,717 dalam tempoh 15 hari bermula 1 Julai.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, 11 kes melibatkan penyelewengan minyak masak peket termasuk cubaan menyeludup ke negara jiran dan tujuh kes kesalahan menyorok bekalan dan mengenakan pembelian bersyarat.

Menurut beliau, 42 kes adalah gagal menyelenggara buku stok manakala selebihnya melibatkan kesalahan berkaitan lesen iaitu menjalankan operasi tanpa lesen serta tidak memperbaharui lesen.

“Semua kesalahan ini dikesan menerusi pelbagai operasi yang dilaksanakan bermula 1 Julai lalu termasuk Ops ATM Fasa II (ayam, minyak dan telur), Ops Anti Sorok, Ops Samar, Operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak satu kilogram.

“Kita juga bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengadakan operasi bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Jamuan Amal 'Perwiraku Jasamu Dikenang' Sempena Ulang Tahun Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Ke 100 peringkat Negeri Terengganu di Hotel Permai, di sini pada Ahad.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kerajaan memandang serius kes penyelewengan dan kebocoran minyak masak peket subsidi ke negara jiran dengan menjalankan siasatan terperinci bagi mengekang kesalahan tersebut.

Jelas beliau, KPDNHEP kini giat melaksanakan audit dan pemutihan terhadap 22 pengeluar serta 305 premis pembungkusan semula minyak masak peket yang beroperasi di seluruh negara untuk mengesan sebarang kelompongan.

Beliau berkata, audit dan pemutihan pembekal minyak masak peket bersubsidi dilaksanakan secara berterusan dan ia lebih dipertingkatkan kini berikutan jurang perbezaan harga minyak masak bersubsidi peket 1kg dan minyak masak tanpa subsidi terlalu tinggi.

Kata Rosol, dianggarkan terdapat lebih 10 jenama minyak masak peket keluaran Malaysia dikesan dijual secara berleluasa di negara sempadan.

“Syarikat pengeluar dan premis pembungkusan semula jenama minyak masak peket yang dikesan dijual di luar negara akan diberi lebih tumpuan, kita jangka keputusan siasatan akan diketahui dalam tempoh dua bulan sebab libatkan banyak rantaian.

“Jika terbukti bersalah, lesen syarikat itu akan ditarik balik dan semua proses serta aktiviti berkaitan minyak masak peket digantung serta merta.

“Saya terkilan, kita di Malaysia kena hadkan pembelian tapi katanya di Thailand itu boleh beli sebanyak mana yang boleh. Jadi saya rasa ia perkara yang menyedihkan dan perlu diambil tindakan dengan segera,” katanya.