GWGF cadang letak 43 calon anak peneroka bertanding PRU15

Rozali (dua dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang penerima pada SUKAF 2022 Ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam pada Ahad.
Rozali (dua dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang penerima pada SUKAF 2022 Ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam pada Ahad.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 43 kerusi Parlimen di rancangan Felda seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, perkara itu termasuk senarai nama calon akan dibawa dalam mesyuarat majlis tertinggi pengurusan GWGF pada akhir bulan ini.

Menurut Rozali, pihaknya sedang memikirkan segala mekanisme untuk menyertai PRU15 meskipun belum mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Kami menjangkakan parti baharu yang akan mewakili suara peneroka ini didaftarkan pada bulan depan setelah siapkan perlembagaan," katanya pada sidang akhbar selepas Karnival Sukan Antara Fasa Bandar Puncak Alam (SUKAF 2022) Ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam pada Ahad.

Rozali yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd berkata, penubuhan parti politik itu telah dicadangkan 150,000 ahli terdiri dalam kalangan anak peneroka seluruh negara di bawah naungan GWGF.

Katanya, kepentingan menubuhkan satu politik baharu mewakili suara peneroka itu dilakukan berikutan masyarakat itu telah mula dilupakan oleh pihak kerajaan.

Jelas beliau, ramai wakil belia termasuk masyarakat Orang Asli dilantik kerajaan sebagai Senator dalam Dewan Negara bagi menguatkan kepentingan generasi itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya terkilan kerana tiada wakil belia peneroka di dalam Dewan Negara sedangkan Felda telah menyumbang sebagai sebuah institusi ladang sawit dan getah terbesar kepada pendapatan negara.

Katanya, situasi itu jelas menggambarkan kerajaan tidak menghargai jasa dan pengorbanan masyarakat peneroka setelah lebih 60 tahun membangunkan industri sawit dan menaikkan nama Malaysia sebagai pengeksport sawit terbesar di dunia selepas Indonesia.

"Kita berasa agak terkilan dan sebab itu ada ura-ura untuk menubuhkan parti politik khusus untuk masyarakat peneroka.

"Kita tengah berbincang dan mencari calon yang layak untuk kita ketengahkan sebagai wakil dalam masyarakat Felda di seluruh negara," jelasnya.

Ujar beliau, pihaknya sedang menilai dan mengumpul data anak peneroka yang berkelayakan dan berjaya dalam pelbagai bidang antaranya tokoh korporat, pegawai bank, doktor dan jurutera yang mempunyai kebolehan serta mereka yang tidak terlampau ekstremis dan sanggup berjuang untuk memajukan masyarakat Felda pada masa depan.

"Kita kumpul (senarai nama calon) dan akan mengadakan mesyuarat akhir bulan ini dapat memastikan ada wakil jadi calon bertanding pada pilihan raya akan datang," katanya.