‘Kami bukan budak mentah’

Farzana Hayani Mohd Nasir
Farzana Hayani Mohd Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas calon paling muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Farzana Hayani Mohd Nasir kesal apabila ada sesetengah pihak yang menganggap suara wanita muda sebagai suara budak mentah.

Katanya, golongan wanita muda dan anak muda yang berjinak politik harus disokong sebagai cara dan pendedahan untuk memupuk kematangan politik mereka.

“Walhal, kita lihat bahawa pemimpin hari ini kurang cakna mengenai beberapa isu melibatkan wanita dan kanak-kanak seperti isu makanan kurang nutrisi (malnutrition), kemiskinan haid (period poverty) dan gangguan seksual (sexual harassment).

“Wanita bersifat lebih sensitif dan peka mengenai isu-isu seperti ini. Jadi, apabila wanita muda yang bersuara dianggap suara budak mentah, siapa pula yang akan berjuang untuk menuntut hak dan keadilan yang sewajarnya?” katanya sewaktu sesi perbahasan pada Kongres Nasional Ke-16 PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Sabtu.

Farzana yang juga baharu sahaja terpilih sebagai salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR berkata, di Malaysia wanita muda adalah demografi yang paling mencabar untuk meraih sokongan mahupun penglibatan dalam politik kerana menghadapi pelbagai cabaran kerana budaya, stereotaip dan gender.

Menurutnya, selain itu ada ramai wanita muda yang berminat dengan politik namun mereka lebih memilih parti lain seperti Umno.

“Kenapa hal ini terjadi? Ia kerana platform untuk wanita muda di dalam sayap Puteri Umno itu jelas. Oleh kerana itu, saya memohon kepada semua pemimpin parti dan semua perwakilan hari ini, sokonglah usaha kami untuk membantu mengetengahkan Srikandi PKR.

“Kami mahu wanita muda memilih untuk bersama PKR dan bukan parti lain. Saya percaya ini adalah tanggungjawab kolektif daripada semua pucuk pimpinan PKR dalam mengembangkan dan memperkukuhkan organisasi Srikandi PKR supaya kami boleh menjadi platform yang efisien dan efektif untuk membantu PKR dalam menghadapi PRU 15 nanti,” jelasnya.